Skip to main
Logo Malaysiakini

Lepas 16 tahun, Muse pilih Malaysia lokasi tunggal jelajah Asia

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Malaysia menjadi satu-satunya negara di Asia yang menjadi hentian konsert jelajah Muse The Will of The People pada 29 Julai depan.

CEO Hello Universe PLT Adam Ashraf berkata, dengan kehadiran eksklusif Muse di Malaysia, diharapkan ia dapat menaikkan prestij Malaysia di mata dunia.

“Kami sangat berbesar hati akhirnya dapat mengumumkan Will of The People - one night only special for Asia, akan diadakan di Malaysia.

“Ini kerana terdapat pelbagai kesukaran dan cabaran bagi membawa Muse ke Asia dan menjadikan Malaysia sebagai satu-satunya persinggahan konsert Will of The People ini.

“Ia juga merupakan sasaran dan impian Hello Universe untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi konsert pilihan untuk artis-artis global antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Hello Universe PLT mensasarkan jumlah kehadiran di antara 60,000 hingga 100,000 penonton.

“Konsert itu diyakini akan menarik semua peminat fanatik kumpulan rock ini dari setiap pelusuk negara dan benua terutamanya dari benua Asia Tenggara, Asia Utara dan Australia,” kata Adam.

Kali terakhir Muse mengadakan persembahan di Kuala Lumpur adalah pada 2007, iaitu 16 tahun lalu.

Di Asia pula, konsert terakhir mereka adalah pada 2019 ketika berlangsungnya Grand Prix Formula 1 Singapura, yang juga merupakan sebahagian dari jelajah konsert Simulation Theory.

Sebelum itu, jelajah Asia terakhir mereka adalah pada 2015 yang menjadi sebahagian daripada jelajah Drones yang menyaksikan mereka membuat persembahan di Beijing, Shanghai, Singapura, Hong Kong dan Seoul.

Pemenang anugerah Grammy dua kali itu pernah disenaraikan sebagai 10 kumpulan rock terbaik di dunia, selain diiktiraf secara meluas sebagai antara kumpulan live terbaik di dunia.

Album baru Muse berjudul Will of The People sekali lagi menunjukkan mereka tidak hanya tertumpu kepada genre tunggal saja.

Dihasilkan sepenuhnya oleh ahli kumpulan itu sendiri, album berkenaan banyak dipengaruhi unsur-unsur ketidakpastian dan ketidakstabilan dalam krisis dunia semasa yang semakin meningkat.

Will of The People juga menyediakan platform muat turun secara langsung ke prapesanan untuk mencetuskan reaksi buat peminat fanatik mereka, sekali gus menjadikan album itu lebih dinanti-nantikan.

Tambah Ashraf, penganjuran konsert dan festival secara tidak langsung dapat membantu membaik pulih serta merangsang ekonomi negara yang terjejas berikutan pandemik Covid-19 yang melanda sebelum ini.

“Selain daripada menarik kehadiran pelancong asing, kami juga dapat menyumbang kepada aktiviti untuk penduduk tempatan” katanya lagi.