Skip to main
Logo Malaysiakini

'Rakyat yang keliru mungkin lebih tenang mengadu pada penggiat seni'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

“Penyertaan penggiat seni dalam arena politik mungkin boleh membuat rakyat lebih berasa tenang serta selamat ketika mereka keliru untuk meletakkan kepercayaan kepada siapa,” kata pemain bass Search, Nasir Daud.

Menurut Nasir, personaliti seni khususnya tokoh terkenal dengan mudah memperoleh kepercayaan itu kerana mereka boleh menggunakan populariti bagi mendapat tempat istimewa di hati rakyat.

“Masyarakat mudah mesra dengan orang seni kerana mereka sudah dikenali.

“Jadi, kehadiran seseorang selebriti penting kerana boleh membuatkan masyarakat berasa dekat, tenang dan rasa selamat ketika ramai yang keliru dengan landskap politik sekarang,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Diminta mengulas sama ada dia berminat untuk menukar portfolionya menjadi ahli politik, Nasir, 64, menjawab kemahuan dan keinginan untuk berkhidmat demi masyarakat itu sentiasa ada.

Katanya, tiada apa yang menghalang, cuma impian itu belum menjadi kenyataan.

“Sebenarnya memang saya berminat ke arah itu (politik). Cuma belum tiba masanya. Ada ahli politik pernah melamar saya untuk sertai politik. Tawaran itu muncul sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 lagi.

“Tapi ketika itu, saya tak ambil serius sangat soal-soal politik. Apa saya boleh jelaskan sekarang adalah semua itu tak mustahil.

“Sebagai artis, saya tahu peranan seni begitu rapat dengan masyarakat dan ia adalah sesuatu yang tak boleh dipisahkan.

“Justeru, saya fikir, penggiat-penggiat seni harus lakukan sesuatu untuk memanfaatkan masyarakat selain memartabatkan industri hiburan ke arah yang lebih baik,” katanya.

Terdahulu, gambar Nasir menyerahkan borang kepada kakitangan Umno ketika Pendaftaran Calon Pemilihan Umno 2023-2026 di Ibu Pejabat Umno, Menara Dato Onn tular di media sosial.

Bagaimanapun, dia menjelaskan, kehadirannya di situ sekadar mewakili pihak isteri untuk menghantar borang kerana Noraziah Saadon, 52, berada di Johor ketika itu.

Berikutan itu, Nasir memohon orang ramai menyokong isterinya yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang politik.

“Isteri menyertai pencalonan Exco Umno memandangkan sekarang parti itu ada membuat pemilihan.

“Isteri saya pernah memegang jawatan ketua penerangan Puteri Johor suatu ketika dulu,” katanya.

Untuk rekod, beberapa selebriti tanah air yang mewarnai dunia politik seperti Dira Abu Zahar (Umno), Jurey Latiff Rosli, Altimet, dan Afdlin Shauki (PKR) serta Ahmad Idham (GTA).

Ditanya sama ada minatnya untuk terjun ke dalam kancah politik adakah disebabkan pembabitan isterinya, Nasir menjelaskan, dia sememangnya mengikut rapat senario dalam negara.

“Sebab diri sendiri. Saya memang berminat dengan politik. Jadi saya ikuti semua kisah-kisah politik dalam negara dengan rapat,” katanya.