Skip to main
Logo Malaysiakini

Peminat pun tahu takkanlah Faizal Hussein ajak kahwin

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pelakon Faizal Hussein mengingatkan agar peminatnya peka dan tidak mudah terpedaya terhadap akaun palsu diwujudkan menggunakan namanya di TikTok yang mengajak mereka berkahwin.

Katanya, kejadian itu berlaku baru-baru ini apabila scammer yang menyamar menggunakan profil dirinya membuka akaun palsu dengan tujuan tertentu.

“Ada pihak menyamar dan buka akaun atas nama saya selama beberapa hari. Individu terbabit menjual akaun tersebut selepas berjaya mendapatkan jumlah subscribers (pelanggan) yang tinggi.

“Pada masa sama, individu itu juga mengajak peminat saya untuk berkahwin. Konon-konon macam sayalah yang ajak mereka berkahwin,” katanya.

Bagaimanapun, Faizal, 55, berkata, mujur pengikut TikToknya bijak membuat penilaian dan setakat ini tiada individu yang melaporkan tertipu dengan scammer itu.

“Mereka kemudian hantar balik mesej-mesej scammer ajak berkahwin itu pada saya. Mereka pun tahu, takkanlah Faizal Hussein nak ajak mereka kahwin.

“Ini bererti, mereka sedar bahawa itu pelawaan itu bukan datang daripada saya sebaliknya daripada akaun palsu yang menggunakan gambar atau video saya,” katanya.

Faizal ditemui selepas majlis pratonton filem terbaru lakonannya berjudul Imam di Istana Budaya malam tadi. Filem itu akan menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula esok.

Imam yang mendapat arahan pengarah terkenal, Mior Hashim Manap adalah sebuah karya adaptasi novel berjudul sama nama, ditulis Sasterawan Negara, Abdullah Hussain.

Naskhah itu berkisahkan perjuangan seorang imam bernama Haji Mihad yang ingin membawa pembaharuan di kampungnya sendiri tetapi mendapat tentangan segelintir penduduk di situ.

Selain itu, Haji Mihad juga didakwa membawa ajaran baru yang agak asing bagi kampung itu hingga mendapat perhatian pihak Majlis Agama.

Selain Faizal, Imam menampilkan barisan pelakon-pelakon seperti M Nasir, Jaludin Hassan Natasha Charmain, Rahim Razali dan Rahim Jailani dan Sophia Ibrahim.

Faizal berkata, selagi akaun asalnya tidak digodam, dia berasakan tiada kewajaran untuknya mengambil tindakan undang-undang ke atas scammer terbabit.

“Kalau saya nak menyalak (bising) pun buat apa jika tak mendatangkan maklum balas positif,” katanya.

Menurut pelakon Gila-Gila Remaja itu, kandungan TikTok miliknya sejak awal diuruskan sepenuhnya oleh anak sulung, Fazryn Faizal.

Bagi Faizal, generasi itu lebih kreatif dalam menjana idea untuk menghasilkan kandungan melalui platform berkenaan.

“Dia berusia 17 tahun, jadi saya rasa lebih elok anak muda yang uruskan hal-hal begini.

“Dia langsung tak benarkan saya urus sendiri kerana mungkin bimbang orang nampak ayahnya bodoh dalam perkara-perkara begini,” katanya berseloroh.