Skip to main
Logo Malaysiakini

Madu Miera Liyana tak terfikir failkan perceraian

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Madu kepada pelakon Miera Liyana, Adibah Abdul Mutalib, mengakui dia masih ingin menyelamatkan rumah tangganya dengan Rosland Othman walaupun ia bergolak sejak dua tahun lalu.

Meskipun berdepan kemelut, kata Adibah, dia langsung tidak pernah terfikir untuk menamatkan perkahwinan yang didirikannya sejak 1995.

“Sebagai seorang isteri, sudah tentu saya ingin selamatkan perkahwinan kami.

“Sememangnya tak pernah berfikir untuk bercerai. Saya cuma mahu dia lebih bertanggungjawab dan adil dalam soal pemberian nafkah.

“Nafkah ini adalah tanggungjawab suami, jadi mana-mana isteri pun tak perlu meminta-minta,” katanya.

Menurut Adibah, walaupun nombor telefonnya disekat, dia tidak pernah menghalang Rosland untuk pulang ke rumah.

“Rosland tak pulang ke rumah dan sekat nombor saya sejak 21 Sept 2021, namun saya tak pernah menghalangnya untuk menjenguk anak-anak.

“Dia masih bapa kepada anak-anak saya. Kami juga masih suami isteri yang sah.

“Jadi, saya amat berharap Rosland pulang ke rumah kerana saya tiada masalah untuk bersemuka dan selesaikan hal ini secara baik dengan dia,” katanya.

Adibah ditemui selepas selesai sebutan proses sulh di pekarangan Mahkamah Syariah Putrajaya. Ibu kepada lima anak itu ditemani peguamnya, Mohd Junid Ramli.

Prosiding itu disebut di hadapan Pendaftar Mahkamah Syariah Putrajaya Tuan Sara Waheeda Tuan Dir.

Rosland, 50, bagaimanapun tidak hadir dan hanya diwakili peguam Amly Embung.

Pada 31 Jan lalu Rosland gagal menghadiri prosiding kes nusyuz yang difailkannya sendiri di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Consolidated Industries Bhd milik syarikat Serba Dinamik itu kemudian diperintah membayar kos RM500 kepada peguam dan isteri pertamanya.

Terdahulu, Adibah mendakwa sikap Rosland berubah sejak mendirikan rumah tangga dengan Miera pada Julai 2020.

Dakwa Adibah, ketika ini Rosland hanya memberi nafkah sekiranya dituntut serta melalui orang tengah.

“Disebabkan nombor saya disekat, kami sukar untuk berkomunikasi, justeru, Rosland hanya berhubung dan memberi nafkah melalui anak kami,” katanya.

Sementara itu, Mohd Junid berkata, hari ini peguam defendan memohon satu tarikh untuk dimasukkan pembelaan terhadap tuntutan.

“Pendaftar mahkamah menetapkan proses sulh akan disambung pada 14 April ini untuk menyelesaikan dokumentasi bagi menjawab pembelaan,” katanya.