Skip to main
Logo Malaysiakini

LPF tak halang TV tapis sendiri filem, drama 

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Lembaga Penapis Filem (LPF) tidak menghalang pihak stesen televisyen (TV) untuk membuat tapisan sendiri terhadap kandungan filem atau drama, yang akan disiarkan di platform masing-masing.

Pengerusi LPF Datuk Mohd Dusuki Ya'acob berkata ini kerana, mereka juga akan menggunakan garis panduan dan akta yang sama seperti LPF untuk membuat tapisan.

“...cuma untuk membuat tapisan, pihak TV perlu kena bersedia kerana kalau di LPF, individu yang menonton dan menapis filem itu, ialah orang yang sama setiap masa tetapi kalau di stesen TV, satu faktor yang harus dilihat ialah dia punya turn over (pertukaran individu mengendalikan tapisan).

“Kalau berlaku turn over, kita (LPF) takut berlaku isu kefahaman tentang penapisan itu. Itu yang kita risaukan, dari segi lain-lain kita sebenarnya menyokong untuk mereka buat tapisan sendiri,” katanya dalam program ‘Apa Khabar Malaysia’ yang membincangkan tentang Klasifikasi Filem Malaysia 2023 terbitan Bernama TV hari ini.

Mohd Dusuki berkata berdasarkan Garis Panduan LPF sedia ada dan Akta Penapisan Filem 2002, kandungan sesebuah filem atau drama akan ditapis berteraskan empat prinsip iaitu, keselamatan dan ketenteraman awam; keagamaan; sosio-budaya; serta ketertiban dan ketatasulian.

“Buat sementara ini, kita sudah ada tiga stesen TV yang diberikan kebenaran untuk menapis filem iaitu Astro, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Media Prima. Selain daripada itu, kita juga dalam senarai untuk memberikan kebenaran sama kepada Telekom Malaysia  Bhd (TM), TV Sarawak (TVS) dan Awesome TV, kerana mereka juga ada memohon untuk membuat tapisan sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau bersetuju dengan pandangan bahawa kandungan sesebuah bahan yang diterbitkan oleh penggiat industri tempatan, perlu dipantau secara berterusan oleh semua pihak termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Ini susulan terdapat kewujudan filem yang berunsurkan pluralisme agama dan melanggar akidah Islam disiarkan dalam plaftorm digital baru-baru ini, sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat.

“...maknanya adalah baik jika kita (Malaysia) ada satu akta yang boleh membendung perkara ini. Bagaimanapun seperti yang saya nyatakan sebelum ini, siaran filem atau drama di plaftform digital adalah di bawah bidang kuasa MCMC. Kita (LPF) hanya menapis filem-filem untuk peringkat tayangan umum,” katanya.

- Bernama