Skip to main
Logo Malaysiakini

'Terima kasih untuk cacat kekal di muka aku'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Isteri Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri, berkata wajahnya bakal mengalami kecacatan kekal kerana didakwa kena tumbuk pelakon dalam satu pertengkaran semalam.

Meluahkan perasaannya melalui Instagram Stories (IGs) malam tadi, Nurul Shuhada turut mendoakan agar perbuatan itu diberi balasan setimpal.

“Terima kasih untuk cacat kekal di muka aku. Semoga Allah balaslah seberat-berat kifarah buat anda dan anda.

“Ustaz Azhar Idrus berkata, mendoakan keburukan ke atas orang menzalimi kita tak salah,” katanya memetik nama seorang penceramah terkenal.

Nurul Shuhada juga mengingatkan Hafidz supaya tidak terus hidup dalam kepura-puraan kerana setiap yang berlaku diketahui Allah.

“Allah hendak tunjukkan depan mata yang penyesalan daripada seorang manusia, jangan kau ukur dengan janji di mulut.

“Menganggap diri sebagai mangsa keadaan dan rasa apa yang dia buat selama ini tidak pernah salah.

“Tapi ingatlah! Allah Maha Mengetahui setiap sesuatu perkara walaupun hanya dedaun yang luruh dari pokok,” katanya.

Ibu kepada kepada dua anak itu turut menyindir Hafidz, 28, yang didakwa masih belum mampu meneruskan hidup tanpanya.

Kata Nurul Shuhada, pelakon Tundukkan Playboy itu masih berminat untuk mengetahui perkembangan dirinya walaupun mereka bermasalah dalam rumah tangga.

“Tidak akan hubungi lagi adalah mengarut. Apa yang pasti dia stalk dan baca setiap komen adalah sangat melucukan.

“Hiduplah kau dengan bayang bayang aku sampai mati. Kau takkan tenang. Kalau baru sekarang hendak ukur kasih sayang buat anak-anak untuk pertahan diri jadi manusia bagus dan boleh buat kau bahagia, teruskan," katanya.

Malaysiakini sudah cuba menghubungi Hafidz dan pengurusnya bagi meminta respons terhadap isu yang berlaku.