Skip to main
Logo Malaysiakini

Melayan rasa segar karya pameran My Idea

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kata-kata “those who can, make art; those who can’t, teach” terbukti tidak berasas apabila kini terdapat ramai pengajar seni juga turut terlibat aktif menghasilkan karya.

Nama-nama seperti Jalaini Abu Hassan, Zaim Durulaman, Rosli Zakaria, Suzli Ibrahim, Aizat Amir, Jamil  Mat Isa dan ramai lagi telah membuktikan betapa mereka yang mengajar juga turut menghasilkan karya-karya seni yang mengujakan.

Namun begitu masih terdapat segelintir pengajar yang mahu kekal hanya sebagai ahli akademik dan enggan turun padang.

Antara faktor yang sering dijadikan alasan ialah kesibukan dalam tugas dan betapa mereka kini sudah tidak lagi berada dalam arus perdana.

Mereka juga kadangkala seolah-olah berasa rendah diri dan bimbang tidak dapat bersaing dengan para pelukis yang bergerak aktif. Tenaga akademik itu juga bimbang jika karya-karya mereka tidak mendapat sambutan.

Pensyarah yang sudah mempunyai pendapatan tetap tidak seharusnya memikirkan perkara-perkara remeh seperti mahu berlumba dengan pengkarya arus perdana, bimbang karya tidak terjual atau berasa terpencil.

Mereka tidak sepatutnya bertanding untuk menjadi seniman yang laris dan popular.

Hal itu kerana mereka mempunyai tugas yang jauh lebih besar sesuai dengan keahlian mereka dalam bidang akademik. Justeru sepatutnya merekalah yang menjadi pemula karya yang mungkin dapat menjadi penanda aras kepada seniman lain.

Kekebasan dalam menghasilkan karya tanpa dihambat oleh keinginan menjadi popular serta tekanan menjual karya sepatut menjadi pendorong kepada mereka untuk keluar dengan karya yang benar-benar ikhlas dan terus dari hati.

Kepuasan membuat karya tanpa perlu memuaskan hati sesiapa juga seharusnya menjadi rencah yang mematangkan karya-karya mereka.

Tidak selamanya karya popular akan bertahan dan menjadi tugas ahli akademik terbabit untuk menghasilkan karya-karya - walaupun tidak popular - memberi impak kepada dunia seni catan tempatan.

Tanggungjawab membina trademark seni tempatan terletak di bahu mereka.

Pada masa sama mereka seharusnya berdiri di tempat paling hadapan dalam mempertahankan karya tempatan daripada dipengaruhi anasir luar yang kadangkala memberi kesan yang tidak baik kepada perkembangan bakat seni anak-anak kita di masa hadapan.

Bertindak dari kelesuan para akademik yang lega dengan hanya tugas mengajar, Rosli Zakaria memulakan pameran My Idea di Galeri APS di Menara GMBB, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Kumpulan yang mengelar diri mereka sebaga Artis Gomen itu dianggotai para pensyarah universiti tempatan dengan UiTM Lendu di Melaka  menjadi pengerak utamanya.

Pensyarah yang terlibat dalam pameran My Idea ialah Wan Mohd Zulkifle, Sharmiza Abu Hassan, Shahariah Rusdi, Sharul Munir Mohd Kaulan, Salmah Ali, Rosli Zakaria, Mohd Saharuddin Supar, Mohd Shaharuddin Sabu, Mohd Ali Azraie Bebit, Muhamad Fitri Samsuddin, Hisamuddin Ahmad, Haslina Abd Razak, Diana Ibrahim, Baharin Samuri, Azahari Khalip, dan Ahmad Zuraimi Abd Rahim.

Musaddiq Mohamad Khalil pula bertindak sebagai kurator pameran.

Karya-karya yang dipamerkan memang terasa sangat segar. Apa yang lebih menarik ialah betapa sesetengah karya itu dihasil lama sebelum pameran tersebut dirancang.

Itu membuktikan betapa walapun duduk di luar arus perdana, sebahagian daripada pensyarah terbabit berkuasa untuk menghasilkan karya yang boleh menjentik hati.

Sesuatu yang boleh dikira sebagai memeranjatkan adalah apabila karya-karya yang dihasilkan oleh ‘artis kerajaan’ itu dengan beraninya membicarakan kepincangan dalam sistem pentadbiran negara.  

Pujian sepatutnya diberikan kepada mereka kerana meluahkan rasa hati melalui satu jalan yang memang mereka adalah ahlinya. Ia tentu sekali boleh membezakan mereka dengan pihak lain yang turun kejalan hanya berbekalkan sentimen.

Kita memerlukan seniman yang ahli, dan dengan sedikit dorongan kita mungkin akan dapat menghasilkan seniman yang ikhlas menghasilkan karya tanpa perlu tunduk kepada kehendak pasaran dan keinginan untuk disanjung sebagai seniman popular.

Ahli akedemik seni seharusnya menjadi pertahanan kita dalam membentuk seni nasional  yang boleh dibanggakan. Kita sudah lama ketandusan seniman yang berkarya dengan hati.

Mungkin melalui My Idea itu akan terbukalah jalan kepada ahli akademi seni yang sekian lama diam untuk kembali mewarnai dunia seni catan kita.

Ahli akademik itu juga seharusnya lebih banyak memulakan usaha perbincangan, forum dan menghasilkan tulisan mengenai seni yang tidak terlalu akademis agar ia lebih mesra pembaca.

Lupakan sebentar keperluan memenuhi KPI tempat kerja, dan turunlah ke tahap orang banyak.