Skip to main
Logo Malaysiakini

Didakwa pukul isteri, Syamsul Yusof geleng kepala

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengarah sensasi, Syamsul Yusof enggan memberikan sebarang kenyataan berhubung dakwaan memukul Puteri Sarah Liyana Megat Kamaludin ketika diasak petugas media di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.

Dia turut ditanya sebab mengapa enggan menceraikan isteri pertamanya itu.

Syamsul sebaliknya hanya menggelengkan kepala tanpa mengeluarkan sebarang kata-kata berhubung soalan-soalan diajukan sewaktu berada di dalam lif.

Terdahulu, pengarah filem itu meluru ke lif sambil menunjukkan isyarat tanda tangan ‘aman’ dan ‘Allah Yang Satu.’

Mahkamah sebelum itu memerintahkan Puteri Sarah dan suaminya Syamsul supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi menyelesaikan kemeleut berhubung perceraian mereka pada 10 April ini.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memutuskan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.

Puteri Sarah dan Syamsul diijab kabul pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.

Peguam mewakili Syamsul, Roshdan Sujak ketika berhujah di mahkamah berkata setakat ini Syamsul tidak mahu menceraikan Puteri Sarah kerana menyifatkan masih ada sinar untuk pasangan berkenaan memperbaiki perkahwinan mereka.

“Masih ada sinar untuk pasangan ini… pihak kami tak setuju dengan pelantikan hakam untuk kes perceraian ini,” katanya.