Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas ahli Lembaga Finas nafi terima dana ketika pegang jawatan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Mohamad Ku Harris Ku Sulong mendakwa dia langsung tidak terbabit dalam produksi Rain Town sewaktu memegang jawatan dalam badan berkenaan.

Haris berkata demikian susulan laporan semakan audit yang mendapati produksi Current Pictures Sdn Bhd mempunyai kepentingan dengan ahli Finas sewaktu menerima Dana Kandungan Digital (DKD).

Bercakap kepada Malaysiakini, Haris menjelaskan tempoh lantikannya sebagai ahli lembaga pengarah Finas bermula dari 23 Mei 2020 hingga 22 Mei 2022.

“Geran (untuk Rain Town) diberi sebelum saya dilantik lagi iaitu pada 2017 dan perjanjian ditandatangani pada 2018.

“Saya juga dah keluar dari syarikat terbabit sejak 2018, iaitu sebelum saya dilantik jadi penasihat Finas.

“Semasa saya menjadi penasihat dan kemudian ahli lembaga pengarah, saya memang tak ada terbabit dengan syarikat pun," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Memberitahu filem itu asalnya diberi judul Hidup Kembali, produksi berkenaan dikendalikan oleh isteri, Tunku Mona, dan anak mereka.

Siap hujung bulan

Bagaimanapun Haris, 59, mendakwa dia hanya menyertai produksi itu selepas tempoh lantikannya sebagai ahli lembaga Finas berakhir.

Terdahulu, Laporan Ketua Audit Negara 2 (LKAN2) yang diterbitkan pada 16 Feb lalu mengisytiharkan enam produksi filem - termasuk Rain Town - yang diberikan DKD sebanyak RM2 juta ada mempunyai kaitan dengan ahli Finas.

Melalui semakan Malaysiakini, laporan itu juga menyebut syarikat berkenaan dimiliki Haris bersama isteri dan anak mereka, manakala status filem pula adalah belum selesai.

Mengikut tarikh perjanjian yang dilaporkan semakan audit, penggambaran filem berkenaan - yang bermula pada 1 Sep 2021 - sepatutnya selesai pada 1 Okt tahun lalu.

Mengulas perkara berkenaan, Haris mendakwa, Tunku Mona ada membuat permohonan penangguhan penggambaran Rain Town ekoran pandemik Covid-19.

“Itu tarikh asal, masalahnya audit tak peduli kronologi termasuk penangguhan maka perkara ini timbul.

“Finas tak diberi peluang untuk mengadakan pre-council (perbincangan awal) untuk menjawab kes-kes seperti ini,” jelasnya.

Kata Haris, mengikut sijil setem yang dikeluarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), ia bertarikh 20 Sept 2021 justeru, produksi diberi tempoh 18 bulan untuk menyiapkan Rain Town.

“Namun, apabila bertukar kerajaan kepada PH, geran struktur yang menetapkan penerbit kena jalankan penggambaran dulu bertukar kepada tunjuk offline baru dapat milestone.

“Projek masih berjalan. Mengikut perjanjian ia bakal siap pada penghujung Mac ini.

"Sekarang kami baru selesai final mixing dan insya-Allah boleh siap lebih awal iaitu pada pertengahan bulan ini,” katanya.

Susulan itu, Haris menggesa Finas tampil membersihkan imej mereka yang didakwanya terjejeas susulan LKAN 2.

“Saya tunggu Ketua Eksekutif Finas Md Nasir Ibrahim untuk bersihkan nama kami,” katanya.

Sementara itu, Md Nasir berkata, siasatan mengenai isu itu mungkin dapat diputuskan tidak lama lagi kerana ia masih berlangsung.

“Kami sedia maklum Tunku Mona terima geran sebelum Haris dilantik menjadi ahli Finas dan produksi sedang dalam peringkat pascaproduksi,” katanya.