Skip to main
Logo Malaysiakini

Terus manifestasi Puteri Sarah buat wanita senasib

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bersempena Hari Wanita Sedunia yang disambut hari ini, pelakon Puteri Sarah Liyana menghadirkan sebuah lagu berjudul Terus, sebagai manifestasi isi hati berhubung kemelut rumah tangganya.

Katanya, Terus - yang dinyanyikan oleh gandingan Sarah Fazny dan Zayani mewakili dirinya - ‘dihadiahkan’ buat wanita di luar sana yang senasib dengannya.

“Lagu ini memang mengisahkan tentang apa yang terjadi kepada diri saya. Apa yang berlaku selama ini saya ceritakan dan diterjemah menjadi sebuah karya. 

“Terus memang mewakili isi hati saya, buat wanita lain dapat bangkit dan meneruskan kembali hidup seperti dulu. 

Menurut Puteri Sarah, lagu yang menerima sentuhan Faizal Ulwi selaku penulis lirik dan komposer itu simbolik kisah hidup yang dilaluinya sejak beberapa tahun yang lalu. 

Katanya, sehebat mana pun kemelut yang berlaku, jangan sesekali meratapi apa yang berlaku. 

“Saya mahu mereka yang senasib dengan saya bangkit dan teruskan kehidupan.

“Kita ada masalah, ada juga jalan penyelesaian. Jangan sesekali patah semangat,” katanya yang turut terlibat sama dalam pembikinan muzik video bersama Sarah Fazny dan Zayani beberapa minggu lalu.

Tambahnya, dia juga mahu mengabadikan tarikh tersebut sebagai satu simbol teruskan hidup dan mahu semua wanita harus bangkit daripada segala derita dan mencari kebahagiaan hidup.

“Saya mahu jalan terus dan tidak lagi mempedulikan apa sahaja kemelut yang berlaku. Sebagai wanita dan yang paling penting sebagai seorang ibu, saya harus terus kuat.”

“Saya harus bangkit daripada kesedihan dan meneruskan kehidupan. Bangkit bukan bermakna ingkar, tapi lebih kepada menyayangi diri sendiri dan tidak membiarkan diri dipijak,” katanya.

Sarah Fazny merupakan penyanyi yang dicungkil bakat menerusi program Mentor Legend 2014 yang menjadi protege kepada Amy Search manakala Zayani merupakan peserta program 3 Juara 2016.

Dalam perkembangan kes perceraian Puteri Sarah, Malaysiakini melaporkan aktres itu mengemukakan bukti baru semalam untuk mengukuhkan dakwaan dia pernah dipukul oleh suaminya, Syamsul Yusof pada 2020.

Menurut peguam mewakili Puteri Sarah, insiden terbabit memaksa anak guamnya untuk keluar dari rumah. 

Syamsul pula enggan menceraikan isteri pertamanya itu dalam prosiding yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan itu. 

Hakim Syarie, Akmalludin Ilyas mengarahkan Syamsul atau nama penuhnya Mohd Syamsul Mohd Yusof, dan Puteri Sarah dirujuk kepada JKP atas tiada keadaan luar biasa untuk tidak berbuat demikian.