Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengarah tak jangka Imaginur yang ‘kompleks’ kutip RM3 juta

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengarah Nik Amir Nik Mustapha tidak menjangka filem Imaginur arahannya mampu mengutip hingga RM3 juta sepanjang tayangan sejak menembusi pawagam tempatan 23 Feb lalu.

Ini berikutan penceritaan filem berkenaan yang sangat kompleks, kata Pengarah Filem Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Asean 2015 (AIFFA 2015) melalui naskhah Terbaik Dari Langit itu.

“Kami bersyukur kerana kutipan yang direkodkan boleh dianggap satu bonus buat pihak produksi. 

“Filem ini agak berat, justeru, saya betul-betul tak sangka ia dapat juga sambutan. Perkara ini memang mengejutkan kami semua,” katanya.

Nik Amir Nik Mustapha

Nik Amir, 36, juga berkata, kegembiraan bukan setakat itu, Imaginur juga adalah garapannya yang buat julung kali mencatat kutipan melebihi RM1 juta.

Imaginur menampilkan nama-nama besar seperti Beto Kusyairi, Diana Danielle, Rahim Razali, Fatimah Abu Bakar dan Nadiya Nisaa.

Ia berkisarkan tentang cinta antara jejaka bernama Zuhal bersama seorang gadis cantik bernama Nur yang sering muncul dalam mimpi pemuda itu.

Zuhal terlibat dalam kemalangan sewaktu cuba mengejar wanita yang pernah dilihatnya dalam mimpi. Usai sedar, Zuhal berada di sebuah hospital di sisi bapanya yang menghidap Alzheimer. 

Di situ dia bertemu seorang perempuan tua yang memberi cadangan untuk bertemu dengan pakar hipnosis bagi merawat masalah yang dialaminya.

Bagaimanapun, Nik Amir yang juga terkenal melalui filem KIL itu berkata, pihaknya sebelum ini tidak pernah meletakkan apa-apa sasaran terhadap jumlah kutipan filem berkenaan.

Namun, pengarah itu berharap agar penonton terus datang ke panggung untuk menyokong Imaginur.

“Sambutan terhadap filem ini boleh reda pada bila-bila masa. Jadi, kami berharap Imaginur dapat bertahan selama yang mungkin di pawagam,” katanya.

Mengulas soal menyambung tempoh tayangan, Nik Amir berkata, keputusan itu bergantung kepada pihak pempamer.

“Perkara ini saya serahkan kepada pihak pawagam, mereka perlu tentukan sama ada mahu sambung tempoh tayangan atau pun tak.

“Kami sangat berterima kasih kerana mereka membantu kami dengan menambah slot tayangan malah membuka lebih banyak dewan panggung untuk filem ini,” katanya.