Skip to main
Logo Malaysiakini

Suami parah dipukul: Uqasha minta jangan komen sensitif

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mengakui trauma selepas menyaksikan suaminya dipukul individu tidak dikenali hingga berlumuran darah, pelakon Uqasha Senrose meminta agar netizen tidak memberi sebarang komen sensitif.

Malah aktres itu menegaskan, dia tidak bermaksud untuk memandagn negatif kepada semua rakyat Singapura melalui kenyataan yang dibuatnya selepas insiden membabitkan Kamal Adli itu.

“Salam, maaf kalau kali ni saya jadi mulut jahat atau puaka. Suami saya kena pukul dengan orang Singapura. Dia memang warga Singapura.

“Saya sendiri tengok kad pengenalan dia, tapi saya tak cakap semua orang Singapura itu jahat atau apa pun.

“Jadi, Kalau tak ada benda yang elok atau baik nak cakap, jangan cakap pape (apa-apa).

"Suami saya berdarah di depan mata saya, saya isteri, saya trauma, saya menggigil. Tolong jangan komen benda bodoh,” katanya di Insta Story (IGs).

Pelakon itu juga mendakwa, suspek dalam insiden membabitkan Kamal itu merupakan warganegara Singapura dan tidak mempunyai sejarah masalah mental.

“Lelaki yang libas suami saya pakai cota besi tu siuman dan normal,” dakwanya.

Terdahulu sesi bergambar dan ramah mesra Kamal Adli dan Uqasha pada acara Hari Raya Mega Sale 2023 yang berlangsung di Singapore Expo terhenti kira-kira jam 9 malam tadi apabila pelakon itu tiba-tiba diserang.

Berita Harian Singapura melaporkan, suspek yang berusia 34 tahun ditangkap polis selepas beberapa pengunjung dan pengendali gerai menahannya ketika cuba melarikan diri.

Susulan itu, Uqasha memaklumkan Kamal terpaksa ditidurkan bagi menjalani pembedahan kerana mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Pelakon Hantu Kak Limah itu juga memuat naik kenyataan doktor yang menyatakan Kamal mungkin mengalami "kerosakan otak" hingga menyebabkan dia pengsan dan tubuhnya lemah.

Pada masa sama, Uqasha sempat berkongsi tangkap layar perbualan suspek dengan seseorang dipercayai berlaku sebelum kemalangan tersebut.

Mesej itu memberi gambaran bahawa suspek sudah lama merancang untuk melakukan sesuatu terhadap Kamal.

Dalam perkembangan terbaru, Uqasha hari ini berkata, Kamal sudah sedarkan diri selepas menjalani pembedahan pagi tadi namun masih mamai.

"Harap semua orang doakan keselamatan kami. Yang lain, kami serahkan pada polis,” katanya.