Skip to main
Logo Malaysiakini

Hafidz Roshdi mengaku tak bersalah, dihantar ke Hospital Bahagia

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, Selangor hari ini memerintahkan pelakon Hafidz Roshdi dihantar ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak bagi menjalani rawatan psiakiatri.

Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak selaku majistret mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar bagi pemeriksaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Terdahulu, Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menumbuk pipi isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri hingga luka dalam kejadian di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya di Kuala Kubu Bharu pada 2 Mac lalu.

Pelakon drama Tundukkan Playboy itu membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Hafidz, 28, didakwa menumbuk isterinya, dengan tangan sebanyak tiga kali hingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.

Pelakon itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323, lapor Sinar Harian.

Semasa prosiding, Nurul Qistini yang mengetuai pendakwaan dibantu, Elyza Amira Habeeb Rahman, manakala Hafidz diwakili peguam bela, Akberdin Abdul Kader.

Nurul Qistini juga memohon kepada mahkamah supaya tertuduh diberikan ikat jamin selepas dirujuk dan menjalani rawatan di Hospital Bahagia kerana lelaki itu mempunyai rekod menerima rawatan psikiatri sebelum ini.

Bagaimanapun, Akberdin merayu Hafidz dilepaskan dengan ikat jamin tanpa perlu dirujuk ke hospital psikiatri atas alasan pelakon itu hanya mengalami depresi dan bipolar iaitu bukan masalah kesihatan mental pada tahap teruk.