Skip to main
Logo Malaysiakini

Neelofa sahkan hamil anak kedua

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pelakon dan usahawan Neelofa akhirnya mengeyakan spekulasi kehamilannya seperti yang ditelah umum.

Kata isteri kepada Muhammad Haris Ismail atau PU Riz itu, dia kini menuju ke fasa trimester kedua.

“Ya, sudah half way to go (trimester kedua). Faham-fahamlah. Orang pun dah nampak kan?

“Ramai yang mendoakan agar saya sihat dan baik-baik saja melalui Direct Message.

“Jadi, syukur alhamdulillah. Ia bukan mudah sebab saya aktif ke sana dan sini dengan ada anak kecil (Muhammad Bilal) lagi,” katanya.

Diminta mengulas mengenai jantina anak keduanya itu, Neelofa mengakui dia tidak memilih.

Dia malah berkongsi kehamilan kali ini juga mudah seperti ketika mengandungkan anak pertamanya, Bilal.

“Dari kehamilan pertama, saya tak memilih. Kehamilan kedua ini pun tak teruk kalau nak dibandingkan dengan kenalan saya yang tak boleh bangun dari katil, alhamdulillah.

“Tapi saya perlu menyesuaikan diri dengan sedikit perubahan seperti bentuk badan, rasa, hormon berubah dan banyak lagi.

“Mereka yang banyak kali hamil pasti dah biasa dengan semua itu,” katanya.

Neelofa ditemui ketika pelancaran koleksi Ini Warisan Kita di butik Naelofar di KL East Mall, di ibu kota.

Terdahulu, Neelofa dispekulasi hamil anak kedua selepas video menampakkan perubahan bentuk tubuhnya tular di laman sosial.

Video tersebut memaparkan Neelofa memegang perutnya yang dilihat sedikit berisi ketika memberi ucapan sempena ulang tahun pertama kelahiran Bilal.

Untuk rekod, Neelofa mendirikan rumah tangga dengan PU Riz pada 27 Mac 2021. Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan anak sulung pada 29 Januari tahun lalu.

Sementara itu, mengulas mengenai kelakuan Bilal yang bakal menerima adik, Neelofa berkata, anaknya itu tidak banyak meragam.

“Bilal okay saja sebab dia pun sudah besar dan dia pun makin kenal orang.

“Saya rasa ia hanya mitos bila orang kata anak pertama akan meragam bila nak adik,” katanya.