Skip to main
Logo Malaysiakini

Artis diserang: Mana suara kerajaan, tanya Ahmad Idham

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas ketua pegawai eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzi kecewa apabila tiada sebarang penjelasan mahupun kenyataan rasmi daripada pihak kerajaan berhubung isu keselamatan selebriti Malaysia di luar negara.

Katanya Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) patut bertindak segera menjernihkan keadaan agar insiden itu tidak dimanipulasi pihak tertentu.

“Apabila melihat isu anak Malaysia dibelasah di luar negara, saya kecewa.

"Di manakah pihak berwajib sedangkan kita ada dua kementerian yang kendalikan isu begini.

“Ia bukan soal semata-mata dia seorang artis, tapi melibatkan hidup dan mati rakyat negara kita," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tambah Ahmad Idham dia amat terkejut kerana sudah masuk hari kedua kejadian serangan ke atas Kamal Adli berlaku tetapi tiada mana-mana kementerian membuat kenyataan menjelaskan keadaan.

“Adakah Kedutaan Malaysia di Singapura juga tidur?” katanya.

Pada 12 Mac lalu Kamal ditidurkan seketika bagi membolehkan pelakon itu menjalani pembedahan akibat kecederaan yang dialaminya selepas diserang lelaki tidak dikenali di Singapura.

Pelakon telefilem Pengantin Dari Neraka itu diserang dengan cota sehingga menyebabkan kepalanya mengalami luka pada kepala.

Jangan ada pilih kasih

Mahkamah Singapura hari ini pula menetapkan suspek yang didakwa menyerang Kamal direman dua minggu bagi menjalani ujian psikiatri.

Kamal dan isterinya Uqasha Senrose turut meminta agar tiada pertikaian sensitif melibatkan kedua-dua negara berlaku susulan pengguna alam maya dilihat cenderung mencetuskan polemik atas isu tersebut.

Ahmad Idham berkata rakyat berhak tahu apakah penjelasan yang boleh diberikan oleh kerajaan bagi mengelakkan timbul salah faham dalam hubungan Malaysia dan Singapura.

Tambah pelakon dan pengarah berusia 45 tahun itu lagi kejadian menimpa Kamal sungguh membimbangkan kerana Singapura selama ini dianggap antara negara yang paling selamat di dunia.

“Kita kena tengok juga dari sudut diplomatik. Jangan biarkan isu ini dimanipulasi hingga boleh mendatangkan ancaman pada negara," katanya.

Dia yang menjadi calon Pejuang dalam PRU ke-15 lalu juga berharap kerajaan tidak mengamalkan sikap pilih kasih semasa menangani sebarang isu membabitkan anak seni.

"Apa yang dipamerkan kerajaan ketika ini tidak selari dengan dasar Malaysia Madani.

“Kejadian anak tempatan yang diserang tak diambil endah, tapi anak tempatan cipta nama di AS, dapat Anugerah Oscar, kerajaan boleh pula buat poster.

“Jangan ada sikap pilih kasih. Ke mana arah tuju Kerajaan Madani ini sebenarnya?” katanya.