Skip to main
Logo Malaysiakini

Konsert artis luar tak dibenarkan ketika hari kebesaran Islam

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Artis luar negara yang ingin mengadakan konsert di Malaysia dilarang mengadakan persembahan semasa atau pada malam sambutan hari kebesaran Islam, bermula tahun depan.

Ini melainkan mereka mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa Islam berkaitan, menurut garis panduan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran dan Persembahan Artis Asing (Puspal).

Hari kelepasan Islam yang disenaraikan dalam garis panduan baru itu termasuk sepanjang bulan Ramadan, Tahun Baru Islam (Awal Muharram), Maulid Nabi Muhammad, Israk dan Mikraj, Nisfu Sya'ban, Nuzul Al-Quran, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Haji .

Menurut Puspal, larangan itu bagi menghormati sambutan hari-hari kebesaran dalam agama Islam.

Garis panduan Puspal sejak 2019 tidak melarang persembahan pada malam sebelum dan pada hari sambutan kebesaran agama Islam selain bulan Ramadan.

Bagaimanapun, garis panduan baru itu memberi sedikit kelonggaran kepada penganjur mengadakan persembahan konsert artis luar negara ketika bulan kemerdekaan.

Menurut garis panduan lama, persembahan sedemikian tidak dibenarkan dari 25 Ogos hingga 16 September.

Namun berdasarkan garis panduan baru itu, hanya tarikh 30 Ogos, 31 Ogos, 15 September dan 16 September (Hari Malaysia) adalah dilarang mengadakan persembahan.

Bagi kod pakaian, garis panduan baru Puspal melarang artis lelaki berdandan atau mengenakan pakaian seperti wanita semasa mengadakan persembahan.

Selain itu, garis panduan itu juga mengekalkan larangan artis lelaki dan wanita luar negara daripada menanggalkan pakaian mereka semasa mengadakan persembahan.

Garis panduan Puspal juga menetapkan syarat bagi aktiviti penggambaran yang dilakukan oleh krew luar negara di Malaysia.

Antara syarat ditetapkan ialah skrip dan kandungannya tidak boleh menggambarkan secara negatif mana-mana agensi keselamatan dan penguatkuasaan Malaysia seperti polis atau tentera.

Skrip mereka juga mesti dinilai dan diluluskan oleh Puspal.