Skip to main
Logo Malaysiakini

Garis panduan Puspal akan ditambah baik ikut kesesuaian

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Garis panduan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) sedia ada masih terpakai namun akan dipinda atau ditambah baik mengikut kesesuaian bagi memudah cara semua pemain industri terlibat.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata hal itu kerana sektor berkenaan dilihat berpotensi meningkatkan ekonomi negara menerusi pelbagai acara termasuk penganjuran konsert artis luar negara.

“Setiap kali dianjurkan konsert atau acara semestinya ia akan ada daya tarikan dalam kalangan warga Malaysia atau warga dari negara jiran.

"Ini akan memberi satu perkali (multiplier) kepada ekonomi setempat, apabila mereka datang untuk ke konsert maka mereka perlukan pengangkutan, beli makanan ataupun membeli-belah.

“Kita teliti dan garis panduan yang sedia ada ini akan terpakai. Sekiranya ada apa-apa isu, kita ambil maklum dan apabila tiba masa nanti sekiranya perlu dipinda atau ditambah baik garis panduan (Puspal) kita akan buat pada waktu itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Puspal Bersama Industri dan dialog awam di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching dan ketua setiausaha kementerian merangkap Pengerusi Jawatankuasa Puspal, Mohammad Mentek.

Mengenai majlis berkenaan, Fahmi berkata ia menerima maklum balas positif dan KKD mendengar sendiri segala isu yang dihadapi oleh pemegang taruh dalam sektor seni dan budaya, khususnya penganjur konsert atau acara.

“Garis panduan baru ini diluluskan pada 16 Nov lalu sebelum kemasukan pentadbiran (kerajaan) baru dan rata-rata mereka (pemain industri) bersikap positif cuma yang mereka mohon mungkin proses bagi meneliti kelulusan permohonan (Puspal) dipercepatkan,” katanya.

Justeru, dia meminta supaya Puspal memberikan jawapan segera kepada pemain industri mengenai segala persoalan dibangkitkan dalam sesi pertemuan berkenaan.

Antara dibangkitkan dalam sesi itu ialah isu cukai, permit serta kos premis yang tinggi dikenakan kepada pihak penganjur konsert.

Fahmi berkata ia adalah di luar bidang kuasa Puspal namun dia akan memaklumkan kepada kementerian berkaitan agar meneliti dan mempertimbangkan perkara itu.

Berdasarkan garis panduan Puspal yang ditambah baik dan disiarkan pada laman sesawangnya, tarikh-tarikh yang tidak dibenarkan untuk penganjuran konsert artis luar negara berskala besar iaitu pada sambutan Hari Kebangsaan (30 dan 31 Ogos) serta Hari Malaysia (15 dan 16 Sept), berbanding sepanjang bulan Kemerdekaan dari 25 Ogos hingga 16 Sept, mengikut garis panduan lama.

Ia juga memperincikan tarikh-tarikh penting bagi larangan mengadakan konsert sebagai menghormati hari kebesaran Islam serta perayaan lain di Malaysia supaya penganjur boleh membuat perancangan awal.

- Bernama