Skip to main
Logo Malaysiakini

Ugut pengarah: Jangan ambil tindakan sendiri, kata Fahmi

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Orang ramai diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melakukan tindakan yang boleh merosakkan harta benda dan mengancam nyawa, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata demikian mengulas ugutan yang diterima pengarah filem indie, Khairi Anwar Jailani.

"Rakyat Malaysia mesti patuh undang-undang, jangan ambil tindakan yang boleh merosakkan harta benda, mengancam nyawa.

“Saya kecam sekeras-kerasnya ugutan ini serta sebarang tindakan di luar batas undang-undang. Patuhi undang-undang, jangan mengambil tindakan sendiri,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan pengarah filem indie Mentega Terbang itu menerima nota ugutan yang diletakkan di rumahnya manakala keretanya juga disimbah dengan cat merah dan hitam.

Nota yang ditinggalkan di rumahnya berbunyi: "Islam pasti bangkit! #MentegaTerbang", "Mentega Terbang, jangan cabar Islam", "Ingat family selamat Mentega Terbang?" dan "Tengok lu punya langsi Mentega Terbang".

Dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini, pengarah berusia 31 tahun itu berkata kereta pelakon Arjun Thanaraju juga disimbah dengan cat merah dan asid, di rumahnya di Ampang.

Filem indie yang ditayangkan menerusi platform penstriman video itu mengundang kecaman kerana didakwa mempromosikan unsur pluralisme agama serta bertentangan dengan fahaman dan ajaran Islam.