Skip to main
Logo Malaysiakini

MP soal tapisan berita TV kaburkan penyampai Oscar

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen DAP Kepong Lim Lip Eng berkata keputusan TV3 untuk menapis dengan mengaburkan imej pakaian aktres pada majlis Oscar adalah tidak wajar dan dianggap satu langkah ke belakang.

Ini selepas TV3 mendapat kritikan kerana mengaburkan bahagian tubuh dua penyampai wanita pada majlis Oscar baru-baru ini semasa program beritanya.

Ketika ditanya, Lim berkata Oscar adalah salah satu acara paling berprestij di dunia, dengan standard dan peraturan yang tinggi.

Oleh itu, adalah tidak perlu untuk TV3 mengenakan tapisan digital terhadap program tersebut.

“Jadi saya ingin TV3 menjawab apa yang perlu. Adakah TV3 berpendapat bahawa penontonnya tertakluk kepada kawalan mereka dan tidak boleh menilai apa yang salah dan apa yang betul?

“Adakah TV3 mengatakan penontonnya tidak dapat membezakan pakaian yang sesuai dan tidak sesuai? Saya tidak fikir itu satu langkah yang perlu,” tambah Lim.

Lim juga menegaskan dia telah menonton Oscar melalui TV sejak dia seorang pelajar dan sepanjang beberapa dekad siaran yang dilihatnya di Malaysia, tidak pernah ada penapisan.

“Tapi kenapa sekarang? Dunia sepatutnya semakin maju dan kini kita mempunyai Kepintaran Buatan (AI) ini, ChatGpt dan sebagainya.

“Mengapa TV3 kita tidak ke hadapan tetapi mundur ke belakang,” soal Lim.

“Majlis Oscar telah ditayangkan di seluruh dunia, terutama di banyak negara Islam. Ia telah ditayangkan tanpa masalah.

“Kenapa Malaysia perlu menapisnya? Ini sukar dipercayai," tanya Lim.

Percubaan Malaysiakini untuk menghubungi TV3 dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching bagi mendapatkan maklum balas tidak berjaya.

Pelakon Malaysia Michelle Yeoh memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Oscars pada 13 Mac untuk lakonannya dalam filem "Everything Everywhere All At Once."

Bagaimanapun, liputan TV3 mengenai acara itu telah menimbulkan perdebatan di kalangan netizen kerana penapisannya terhadap penyampai wanita, yang juga bekas pemenang Oscar Halle Berry dan Jessica Chastain.

Beberapa netizen mengkritik tindakan itu sebagai memalukan media Malaysia manakala yang lain berkata program berita itu ditonton oleh semua peringkat umur, termasuk kanak-kanak, justeru penapisan adalah perlu bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak perlu.