Skip to main
Logo Malaysiakini

Amy Search, Bunkface antara penghibur diintai D'Masiv

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kumpulan popular Indonesia, D'Masiv, kini mengintai peluang untuk berkolaborasi dengan artis Malaysia seperti Amy Search, kugiran Masdo dan Bunkface untuk konsert pertama mereka di negara ini.

Vokalis D'Masiv, Rian Ekky Pradipta, berkata kumpulan itu yakin kepada nama-nama yang dipertimbangkan itu selain mampu menarik minat orang ramai hadir ke Konsert D'Masiv 20AD To The World - Live In Kuala Lumpur pada 2 Jun depan.

“Berkemungkinan kami akan berkolaborasi dengan band dari Malaysia, sama ada kumpulan baru ataupun bertaraf legenda.

“Di Indonesia, kumpulan popular sekarang adalah kugiran Masdo. Nama mereka sedang tular.

“Sebelum ini, kami juga pernah bekerjasama dengan Bunkface ketika menyanyikan lagu runut bunyi filem Boboiboy.

“Justeru, jika ada peluang, sudah tentu kami mahu bekerjasama lagi,” katanya sewaktu temubual secara dalam talian baru-baru ini.

Konsert D'Masiv 20AD To The World - Live In Kuala Lumpur yang akan mengambil tempat di Zepp Kuala Lumpur itu dianjurkan Neptunes Presents sempena meraikan ulang tahun ke-20 D'Masiv.

KL jadi destinasi pertama

Untuk rekod, selain Rian, D’Masiv turut dianggotai, Dwiki Aditya Marsall selaku pemain gitar, Nurul Damar Ramadan (gitar), Rayyi Kurniawan, Iskandar Dinata (bass) dan Wahyu Piadji (dram).

Rian berkata, beberapa bulan lalu dia menciap di Twitter dan menerima maklum balas daripada ramai peminat yang menginginkan kumpulan itu hadir dengan konsert di Malaysia.

Justeru, menurutnya, mereka begitu teruja untuk mengadakan persembahan di sini.

“Sebelum ini, kami sudah beberapa kali hadir ke Malaysia, tapi sekadar mempromosikan album dan sebagainya. Kalau buat persembahan pun, tampil bersama pemuzik lain seperti Nidji dan Geisha.

“Justeru, konsert ulang tahun ke-20 ini akan menjadi taruhan pertama kami di Malaysia. Kami teruja akhirnya dapat bertentang mata dengan peminat yang menyokong D’Masiv selama ini,” katanya.

D’Masiv bakal menghiburkan peminat dengan 23 hingga 24 lagu popular seperti Pergilah Kasih, Cinta Sampai Di Sini, Merindukanmu, Jangan Menyerah dan Cinta Ini Membunuhku.

Mengulas tema konsert, Rian berkata, mereka mengangkat tema jelajah dunia untuk persembahan kali ini sekali gus menyediakan susunan muzik berbeza mengikut kesesuaian peminat.

“Secara kebetulan, kami mahu mengadakan siri jelajah ke beberapa negara lain lagi pada tahun ini.

“Jadi, Malaysia akan jadi negara pertama, disusuli negara lain seperti Indonesia, Australia dan Amerika Syarikat.

“Ada beberapa lagu dilakukan susunan muzik semula agar berbeza daripada versi asal. Tapi, ada juga lagu yang akan dipersembahkan dalam versi asal untuk memenuhi permintaan peminat,” katanya.

Sementara itu, penganjur konsert yang juga aktres terkenal, Nabila Huda berkata, D’Masiv merupakan antara kumpulan Indonesia diminatinya sejak kecil.

Sewaktu bercuti bersama keluarga ke Jakarta, Indonesia pada awal tahun ini, katanya, mereka diundang oleh teman rapat untuk bertemu dengan Rian.

“Tujuan asal pertemuan hanya untuk berkenalan. Tiada perancangan pun melamar D’Masiv untuk mengadakan konsert di Kuala Lumpur.

“Pengurus D’Masiv maklumkan dia amat teruja dengan penganjuran konsert pertama Senandung Malam membabitkan Payung Teduh X Pusakata dan Efek Rumah Kaca yang dibawakan Neptunes Presents pada November, tahun lalu.

“Dari situ, timbul idea sekiranya kami berminat untuk berkolaborasi dengan D’Masiv dalam menganjurkan Senandung Malam Volume 2 yang membabitkan artis seberang dan tempatan di Kuala Lumpur,” katanya.