Skip to main
Logo Malaysiakini

Permohonan DKD industri muzik dibuka mulai 23 Mac

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Permohonan Dana Kandungan Digital (DKD) Industri Muzik di bawah Kumpulan MyCreative Ventures Sdn Bhd dibuka mulai 23 Mac ini kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Menerusi kenyataan hari ini, Fahmi berkata DKD Industri Muzik diperkenalkan selaras dengan komitmen kerajaan menyemarakkan industri kreatif, seni dan budaya.

Permohonan DKD itu boleh dibuat melalui pautan www.mycreative.com.my/dkd.

“Saya percaya DKD ini akan membuka lebih banyak peluang kepada penggiat seni pascapandemik Covid-19 untuk menghasilkan karya kreatif berkualiti tinggi yang mampu bersaing bukan sahaja di pasaran tempatan, malah juga mampu menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Fahmi berkata seramai 13 penerima diberi surat setuju terima Dana Persembahan Muzik di bawah inisiatif DKD Industri Muzik Tahun 2022 yang berjumlah RM3.3 juta.

Tiga badan pelesenan - Music Authors Copyright Protection (MACP) Bhd, Public Performance Malaysia (PPM) dan Recording Performances Malaysia (RPM) Bhd - turut menerima Pembayaran Skim Pelesenan Hak Cipta Penggunaan Muzik daripada kerajaan berjumlah RM2.18 juta.

Semalam, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) buat julung kalinya menganjurkan sesi dialog awam industri muzik yang disertai lebih 500 pemain dan penggiat muzik di Kuala Lumpur Performing Arts Centre.

Pemain industri yang menyertai sesi berkenaan ialah artis, penerbit, pengurus, wakil syarikat rakaman, wakil perkhidmatan penstriman muzik serta penganjur acara dari seluruh negara.

Fahmi berkata dialog awam itu ialah langkah permulaan bagi menghimpunkan pihak berkepentingan daripada pelbagai peringkat industri untuk mengenal pasti dan membincangkan inisiatif-inisiatif yang berpotensi dalam memajukan industri muzik negara serta menyelesaikan isu berkaitan.

“KKD bertekad membina ekosistem yang kondusif bagi memayungi industri kreatif.

“Kerjasama berterusan dengan pemain dan penggiat industri muzik adalah amat signifikan dalam usaha memacu industri kreatif negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.