Skip to main
Logo Malaysiakini

Man Kayan dan perjuangan seni Pahang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Man Kayan berpendapat seseorang seniman mesti bergerak seiring mengikut masa untuk kekal relevan.

Seniman, kata Man Kayan, tidak sepatutnya hanya kekal dalam satu jenis persembahan dan kemudian merasakan dirinya adalah yang terbaik.

Dia juga berpendapat semua penggiat seni - biar dari cabang mana pun - sebaiknya duduk bersama dan bergerak ke arah keagungan bersama, bukanya kemaruk menjadi mempopularkan sendiri sendiri.

Kerana itu kini dia membuka keahlian kumpulan gendang Anak Kayan kepada sesiapa yang berminat setelah sebelum ini ia hanya dianggotai oleh isteri serta anak-anak dia sendiri.

Kumpulan Anak Kayan bermula pada 2008 dan - seperti yang dimaklumkan tadi - pada waktu itu kumpulan tersebut hanya dianggotai oleh Man Kayan sekeluarga.

Anak-anaknya yang ketika itu masih di sekolah rendah telah dilatih untuk bermain gendang, manakala Man Kayan sendiri beraksi sebagai pemain gitar sekali gus penyanyi utama.

Mereka mengadakan persembahan di merata-rata tempat. Pada permulaannya semua persembahan tidak mendapat sebarang bayaran.

Keasyikan Man Kayan dalam mempertahankan seni gendang Pahang telah membuatkan dia berusaha bersungguh-sungguh. Hasil daripada usaha tersebut dia kini boleh berbangga apabila kumpulan berkenaan kini diiktiraf.

Telah banyak mereka menerima jemputan sama ada dari dalam atau luar negara.

Baru-baru ini Man Kayan dianugerah gelaran Adiguru Cendana Gendang Pahang. Dan dia juga kini gigih melatih genarasi muda memahirkan diri dalam seni memukul gendang.

Dia juga beranggapan setiap seniman perlu mempunyai gelangang sendiri.

Bergerak dari persahabatan kumpulan Anak Kayan dan Rajawali Art Groupe Internationale, Man Kayan mula bercita-cita untuk membina ruang sendiri.

Terilham daripada kegiatan para pelukis Rajawali, pada 2018  terbinaĺah Kelab Serindit Mati Tercepit, sebuah petempatan yang mengumpulan para seniman yang lebih cenderung ke arah seni persembahan.

Persembahan seni secara langsung

Kelab Serindit Mati Tercepit yang terletak di kampung Permatang Badak, Kuantan menjadi tempat berkumpul para pemuzik, pemuisi, pelukis dan juga penggiat teater.

Hampir setiap malam mereka akan berkumpul di kelab tersebut dan mengadakan persembahan sambil bertukar-tukar fikiran.

Di kelab itu juga Man Kayan menghasilkan busana Melayu yang boleh disewa oleh orang ramai. Kadar sewaan yang dikenakan adalah amat berpatutkan.

Dia berpendapat dengan berbuat demikian orang ramai akan lebih mampu untuk bergaya dengan busana Melayu dan secara tidak langsung ia akan mempopularkan lagi pakaian berkenaan.

Semua busana itu adalah dari hasil kerja tangan Man Kayan.

Dia menjahit sendiri pakaian berkenaan dan kini dia sedang melatih salah seorang anak lelakinya untuk menjadi pelapis dalam hal membina busana.

Dia juga sering mendapat tempahan busana daripada persatuan, sekolah dan juga orang perseorangan.

Anak lelaki dia, Alif, juga memiliki kemahiran pembuat tanjak Melayu yang berbakat. Di sana dia menyediakan tanjak untuk kegunaan orang ramai, sama ada disewa atau dijual.

Selain itu, Man Kayan telah membuka sebuah kedai kopi yang diberi nama Sarang Serindit. Kedai kopi itu kelihatan seperti kebanyakan kedai kopi di mana-mana kampung di negara kita.

Apa yang membezakan Sarang Serindit ialah apabila saban malam pengunjung dihiburkan dengan persembahan puisi, teater dan juga muzik tradisional secara langsung.

Terbaru kumpulan lagu puisi terkenal Kopratasa telah sudi menghiburkan para pelanggan yang hadir.

Setakat hari ini Man Kayan bersama kumpulanya menghasilkan dua buah album muzik tradisional, dan dia sendiri menyanyikan lebih daripada 500 buah lagu hasil puisi seniman terkenal dari Malaysia, Singapura, Indonesia serta Brunei.

Semua 500 lagu tersebut boleh dilayari di halaman YouTube.