Skip to main
Logo Malaysiakini

KKD sokong usaha bawa masuk peralatan studio produksi maya

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menyokong sebarang usaha pemain industri perfileman untuk membawa masuk kelengkapan peralatan studio produksi maya ke Malaysia dan mampu menjadi pencetus perubahan kepada industri itu.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata ia bertepatan dengan peruntukan RM102 juta dalam Belanjawan 2023 sebanyak yang antara lain merangkumi pengecualian duti import serta cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran.

“… dalam konteks industri perfileman, apabila kita membawa masuk penggambaran filem dari luar ke Malaysia, kesan positif bukan saja dari segi pelaburan tetapi juga dari segi kemahiran dan pengalaman.

“Saya percaya dengan peralatan baru digandingkan dengan pengalaman kita terlibat dalam filem yang lebih besar, ia akan membantu industri filem dari segi teknikal di Malaysia.

"Saya lihat ini satu perkembangan yang positif dan semestinya pihak kementerian kami menyokong,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Seniman Kebangsaan 2023 di Kuala Lumpur malam tadi.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Ni Ching, Ketua Setiausaha KKD Mohammad Mentek, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Kamil Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas Prof Dr Md Nasir Ibrahim.

Terdahulu, Fahmi dalam ucapan perasmian berkata dia menaruh keyakinan industri kreatif amnya dan industri filem khususnya akan terus berkembang sebagai jentera ekonomi kreatif seperti negara luar termasuk Korea Selatan, China, Jepun serta AS.

Katanya menerusi sektor itu kerajaan melalui KKD serta Finas dapat terus meningkatkan pelaburan asing ke dalam negara melalui Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) dan perjanjian kerjasama produksi antarabangsa dengan negara seperti China, Korea dan Indonesia.

Pada masa sama, dia mengingatkan penggiat industri kreatif untuk terus mengamalkan keterbukaan dalam memberi serta menerima pandangan agar semak dan imbang dapat dilaksanakan.

“Salah tafsiran atau yang menyentuh sensitiviti sesuatu karya seni mesti dielakkan dalam keghairahan mengkomersialkannya.

“Kesefahaman ini penting untuk memastikan usaha dan kesepaduan bersama dapat dicapai dengan saling bertukar pandangan dan sokongan agar seni dan budaya rakyat Malaysia yang berbilang bangsa ini sentiasa terpelihara dan diperkembang ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Hari Seniman Kebangsaan 2023 yang bertema Filem Wadah Perpaduan, Titian Keharmonian merupakan simbolik penghargaan kepada penggiat seni dan budaya yang banyak menyumbang serta mengharumkan nama Malaysia.

Ia disambut pada 22 Mac setiap tahun dan dipilih bersempena tarikh kelahiran Allahyarham P Ramlee sebagai mengenang kembali selain menghargai jasa dan bakti Seniman Agung Negara itu.

- Bernama