Skip to main
Logo Malaysiakini

Rasa sayang Hafidz pada isteri kini 50-50

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pelakon Hafidz Roshdi berkata dia menyerahkan kepada ketentuan Ilahi mengenai masa depan rumah tangganya dengan Nurul Shuhada Mat Shukri - sama ada mampu pulih semula atau berakhir sama sekali.

Katanya, perasaan terhadap Nurul Shuhada masih wujud namun ia tidak lagi sama seperti sebelum ini.

“Tengok jodoh macam mana... rasa sayang kini 50-50,” katanya.

Pemilik nama penuh Muhammad Hafidz Roshdi itu berkata, Nurul Shuhada hari ini tampil di mahkamah untuk sebutan kes dan dia menyerahkan masa depan mereka kepada kebijaksanaan hakim.

“Saya serahkan kepada mahkamah. Apa saja keputusan, lafaz dibuat atau tak, saya serahkan kepada mahkamah.

“Alhamdulillah, saya okay. Bagaimanapun, tiada sebarang komunikasi bersama Nurul Shuhada. Saya diminta tak mengganggu Nurul Shuhada dan ambil keputusan tidak berkomunikasi," katanya dipetik BH Online.

Ditanya mengenai urusan dua anak mereka, Hafidz, 28, menyerahkan isu berkenaan kepada pihak peguam.

Katanya, dia juga tidak berpeluang untuk bertemu dengan Humairah, 6, dan Umar, 2 sejak tiga minggu lalu.

“Itu urusan di antara peguam denga peguam. Namun, saya ada berkomunikasi dengan anak-anak menerusi panggilan telefon dan video,” katanya.

Pelakon Bisik Bisik Gelora itu berharap kemelut rumah tangga dapat diselesaikan secara baik.

Sementara itu, peguam Hafidz, Akberdin Abdul Kader, berkata pihak plaintif menyatakan tuntutan baru dengan lafaz cerai berlaku pada 22 Jan lalu justeru mereka perlu menunggu mahkamah membuat keputusan bagi kedua-dua lafaz cerai.

“Hari ini adalah tarikh sebutan pertama, permohonan ini difailkan oleh plaintif dan defendan. Jadi, tiada timbul lafaz kedua.

“Tiba-tiba kami dapat penyata pembelaan, ada tuntutan balas daripada pihak defendan semalam. Pihak defendan mendakwa ada satu lagi talak dilafazkan Hafidz.

“Jadi, biarlah mahkamah tentukan. Kami akan memasukkan jawapan dan pembelaan kepada tuntutan ini.

"Sebelum ini, pihak defendan tak menyatakan tuntutan yang dilafazkan pada 22 Jan itu.

“Kami terkejut pihak defendan memfailkan tuntutan pertama bersama. Jadi, kami tunggu mahkamah putuskan untuk kedua-dua lafaz ini,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam menetapkan 9 Mei ini bagi sebutan semula kes cerai Hafidz dan Nurul Shuhada berhubung isu lafaz cerai sebanyak dua kali.

Hakim syarie Siti Rahman Hussin menetapkan tarikh tersebut selepas Akberdin memohon satu tarikh lain bagi pihaknya menjawab tuntutan balas berhubung isu lafaz cerai itu.

Sepatutnya, hari ini adalah prosiding pengesahan lafaz cerai, namun mahkamah dimaklumkan terdapat isu baru berhubung isu lafaz cerai.

Kes perceraian dibuat mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Nurul Shuhada dilaporkan memfailkan perceraian di mahkamah sama pada 27 Feb lalu.