Skip to main
Logo Malaysiakini

KKD terus cari jalan tangani isu upah artis veteran

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sedia maklum mengenai bayaran rendah diterima artis veteran, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berjanji untuk meneliti isu berkenaan agar dapat membantu golongan terbabit menerima upah yang setimpal.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata perbincangan dua hala dengan pelbagai pihak akan diteruskan supaya bayaran untuk artis veteran dapat diselaraskan.

“Di pihak kementerian, KKD sudah adakan siri pertemuan dengan pemain industri muzik.

“Beri sedikit masa. Kita tahu antara isu itu membabitkan kos. Insya-Allah, kami akan adakan lagi pertemuan untuk buat beberapa penyelarasan," katanya.

Untuk pertemuan di antara KKD dengan penggiat industri perfileman pula, kata Fahmi, pertemuan itu sepatutnya diadakan hari ini namun terpaksa ditangguhkan sehingga selepas Aidilfitri.

Fahmi ditemui media pada sambutan Hari Kebangsaan Seniman 2023 di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Hulu Klang, kelmarin.

Pada acara itu, Fahmi menyampaikan Anugerah Tokoh Filem Perpaduan kepada pengasas dan penerbit animasi terkenal terbitan Les’ Copaque, Upin & Ipin, Burhanuddin Md Radzi.

Fahmi juga berharap, Hari Seniman Kebangsaan itu dapat membakar semangat serta menyuntik kesedaran mengenai kepentingan golongan terbabit terutama dalam konteks pembangunan industri kreatif tanah air.

Justeru, katanya, penting agar golongan veteran yang masih mampu memberikan tenaga masing-masing kepada pembangunan seni diberi peluang untuk menonjolkan diri mereka.

“Saya gembira dapat bertemu ramai artis veteran yang pada kebiasaannya dapat dilihat dari kaca televisyen atau panggung wayang.

“Bagi saya penting artis veteran filem yang masih berbakat ditonjolkan ke depan. Peminat juga ada yang bersifat evergreen (malar segar), jadi saya rasa ada peluang untuk ini,” katanya.

Selain itu, menurut Fahmi, KKD juga sedang meneliti isu menghimpit golongan veteran dalam meneruskan kelangsungan hidup.

“Saya akan berbincang dengan Ketua Pengarah Penyiaran, Suhaimi Sulaiman berhubung perkara ini,” katanya.