Skip to main
Logo Malaysiakini

Syamsul Yusof dakwa tuduhan pukul isteri cuma fitnah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengarah filem Syamsul Yusof menegaskan dia tidak pernah ‘naik tangan’ walau sekali pun terhadap Puteri Sarah seperti yang didakwa isteri pertamanya itu di mahkamah.

Menurut anak penerbit terkenal Yusof Haslam itu, dia sendiri menjadi terpinga-pinga atas tuduhan dilemparkan Puteri Sarah.

“Salah satu sebab saya failkan nusyuz adalah sebab dia fitnah saya pukul dan tak beri nafkah. Benda itu tak berlaku.

“Apabila saya mengetahui tuduhan itu, saya terus hubungi dia dan bertanya mengapa sampai begitu sekali dakwaan dilemparkan terhadap saya, dia sendiri tahu saya tak pernah sesekali pukul dia.

“Saya faham sekiranya dia benci dan dendam pada saya tapi takkan sampai macam itu sekali tuduhan dibuat,” katanya.

Menurut Syamsul, 38, dia mempunyai seorang adik perempuan yang amat disayangi beserta seorang ibu, jadi tidak mungkin dia tergamak untuk mencederakan seorang wanita.

“Jangan gambarkan saya sebagai lelaki kaki pukul sebab saya ada adik dan ibu. Itu ada kaitan dengan permohonan nusyuz.

“Adakah ini satu hiburan buat Sarah? Mungkin dia risau saya akan ambil anak daripada dia lepas failkan nusyuz.

“Ada cerita di sebalik itu dan ia akan aibkan Sarah sebab ia melibat suami orang tapi saya tak mahu keruhkan keadaan dengan buka aib dia tapi saya perlu jelaskan,” katanya.

Syamsul berkata demikian pada satu sidang media khas di Wangsa Maju, Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Syamsul memfailkan permohonan nusyuz terhadap Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

Pada 6 Jan lalu, Syamsul mendedahkan dia menikahi isteri kedua, Ira Kazar, di Thailand dengan berwalikan bapa wanita terbabit, Kazar Saisi.

Susulan itu, Puteri Sarah sah memfailkan tuntutan cerai terhadap suaminya Syamsul Yusof di mahkamah syariah.

Masih sayang dia

Puteri Sarah pada 7 Mac lalu mengemukakan bukti baru untuk mengukuhkan dakwaan dia pernah dipukul oleh Syamsul pada 2020.

Kejadian itu kata Puteri Sarah, meletakkan dia dalam keadaan tidak ada pilihan kecuali keluar dari rumah mereka.

Syamsul mendakwa dia berulang kali berusaha untuk mengajak Puteri Sarah berbincang namun isterinya menolak permintaan itu.

Jelasnya, Puteri Sarah kerap kali meminta untuk dilepaskan dengan alasan dia sudah mempunyai orang lain.

“Saya hubungi dia untuk berbincang agar kemelut kami dapat diselesaikan.

“Ya saya failkan permohonan nusyuz atas tuduhan dia curang. Tapi saya failkan nusyuz bukan untuk bercerai dengan Sarah. Sejujurnya saya masih sayangkan dia.

“Saya mahu menyelesaikan kemelut ini dan berbincang dulu, malangnya bila saya hubungi, dia minta dilepaskan dan cakap sudah ada orang lain,” katanya.

Malaysiakini sudah cuba mendapatkan komen Puteri Sarah bagi mengulas dakwaan dibuat Syamsul itu.