Skip to main
Logo Malaysiakini

Pameran eksklusif perkenalkan P Ramlee kepada pengunjung KLIA

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah lokasi strategik bagi pameran eksklusif untuk memperkenalkan ikon seni tanah air, Seniman Agung P Ramlee, dan karya peninggalannya kepada pengunjung luar negara, kata Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang.

Katanya karya seni peninggalan Allahyarham P Ramlee merupakan khazanah dan buah fikiran seniman terbabit mengandungi mesej keharmonian, penyatuan, kebersamaan serta saling menghormati antara kaum.

“Terlalu banyak nilai positif yang terkandung dalam setiap filem karya P Ramlee.

“Ia selari dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat Madani yang bersatu padu dan hormat-menghormati tidak kira bangsa, budaya dan agama,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pameran itu di Sepang hari ini.

Pameran eksklusif bertemakan Hanya Dikau itu dianjurkan Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama Malaysia Airport Bhd dan berlangsung di Aras 5, Terminal 1 KLIA selama tiga bulan bermula semalam.

Objektif pameran itu ialah bagi memperingati 50 tahun pemergian seniman agung tanah air itu, selain menyebarluaskan maklumat sejarah ketokohan P Ramlee yang banyak menyumbang kepada industri seni negara.

Pameran tersebut memaparkan karya seni peninggalan P Ramlee melalui konsep visual. Antaranya Sekolah Umum Buta Huruf, Kedai Musik Abdul Wahub, Tandas Pangkah dan Studio Jalan Ampas yang diinspirasikan daripada pelbagai filem P Ramlee.

- Bernama