Skip to main
Logo Malaysiakini

Radhi dakwa konsert OAG rugi, terpaksa berhutang ah long

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Vokalis band rock alternatif Old Automatic Garbage (OAG), Radhi Razali, mendakwa penganjuran Konsert Konsert OAG 30 Tahun Generasiku di Stadium Malawati Shah Alam mengalami kerugian besar.

Walaupun pahit untuk ditelan, dia mendakwa situasi itulah yang berlaku pada konsert yang berlangsung pada 25 Dis tahun lalu.

“Sambutan hari ulang tahun ketika itu berdekatan dengan berlangsungnya tarikh PRU ke-15, justeru, ia menjejaskan banyak aktiviti promosi konsert.

“Tiket pun sebenarnya banyak yang kami give away (berikan secara percuma) saja. Mungkin ramai ingat tiket habis dijual, tapi sebenarnya tidak.

“Kalau diikutkan boleh saja jual semuanya, cuma masa begitu terhad. Tapi saya tak salahkan PRU sebab memang bukan waktu yang sesuai untuk OAG mengadakan konsert,” katanya.

Radhi, 46, berkata, waktu persediaan yang terhad juga membuatkan dia begitu skeptikal untuk menyertai konsert berkenaan.

Katanya mereka hanya ada masa kira-kira dua bulan sebelum tarikh sambutan ulang tahun iaitu pada 25 Dis.

“Saya terlebih dulu suarakan kebimbangan untuk penganjuran konsert itu sebab kurang yakin dengan keadaan diri sendiri.

“Saya juga masih terasa kehilangan arwah ibu yang meninggal dunia beberapa bulan sebelum itu dan pada masa sama, studio saya pula dirompak,” katanya.

Macam adik-beradik

Radhi ditemui ketika sesi tayangan khas filem underground, urban dan indie berjudul Pekik di Pawagam Mini P Ramlee Hulu Kelang, kelmarin.

Penyanyi Knocked Silly itu pada masa sama mendakwa, mereka terpaksa meminjam pada ah long bagi tujuan menampung kos persiapan konsert.

“Pada jam 3 petang hari konsert itu, kami tak dapat siapkan pentas kerana tak cukup duit. Jadi, kami ambil keputusan untuk meminjam daripada ah long walaupun ia bukan idea yang baik.

“Pada hari itu juga ah long datang dari Pulau Pinang dan bawa RM50,000,” dakwanya.

Selain Radhi, konsert itu turut dijayakan seorang lagi anggota asal kumpulan iaitu, Qi Razali (dram).

Mereka turut membawa anggota lama bergabung di atas pentas iaitu Nazrin (bass), Alim (gitar), Alim, Naza, Nizam, Ammal (gitar) dan Yen (bass) serta seorang ahli baru.

Kumpulan itu turut menjemput beberapa pemuzik gantian terdiri daripada vokalis Flop Poppy, Andy, dan Bakri Ismail.

Awal Jan lalu, Qi atau Qushairi Mohammed Razali Wong tiba-tiba mengumumkan keputusannya melalui Twitter untuk meninggalkan kumpulan itu.

Pada siri ciapannya, dia memuji usaha Radhi, 46, kerana mampu memberikan persembahan sehabis baik.

Bagaimanapun, Radhi menjelaskan tidak berlaku sebarang persengketaan dengan Qi, 45, malah dia menghormati keputusan untuk mengundurkan diri yang diambil itu.

“Biasalah, kalau bukan dia yang merajuk, saya pula akan merajuk.

“Minggu lalu baru saya berjumpa dengan dia, hubungan kami macam adik-beradik.

"Cuma, keputusannya untuk berundur itu mungkin disebabkan dia berasa konsert itu boleh berjaya namun sebaliknya ia tak capai matlamat,” katanya.