Skip to main
Logo Malaysiakini

Dengan Atlantis Zaimie mengajak lebih mengehormati laut

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

"Semasa kecil, saya anak Bajau Laut yang tidak suka pada air. Puas bapa memujuk agar saya turun ke laut namun minat saya tidak ke situ.

"Lalu bapa saya berkata bahawa tidak apa jika saya tidak suka bermain air, cukup sekadar saya duduk di pelantar dan tolong memasak.

"Dari atas pelantar tersebut - sambil menolong ibu dan bapa memasak - saya akan sesekali memandang ke laut dan disana saya dapati banyak ikan dan terumbu karang yang menawan.

"Ini tentu saja mengasyikan pada jiwa seorang kanak-kanak.

"Kenangan semasa di pelantar bersama arwah bapa itulah yang menjadi inspirasi kepada karya-karya yang saya persembahkan dalam pameran solo saya kali ini," kata Zaimie Sahibil.

Zaimi berkata demikian bagi menjelaskan mengapa semua 52 karya yang sedang dipaparkan dalam pameran solonya digambar dari sudut pandang atas.

Pameran berjudul Atlantis: Lagaton, Pulau Silk, Sabah sedang berlangsung di Akademi Seni Budaya Dan Warisan (Aswara) bermula dari 17 Mac lalu dan akan berakhir pada 31 Mac ini.

Kepupusan hidupan laut biasanya disebabkan oleh tangan-tangan manusia. Sebagai seorang anak laut, Zaimie melihat sendiri bagaimana sebahagian daripada hidupan laut itu dimusnahkan oleh bom ikan dan juga racun sodium cyanide.

Pelaut yang ingin mencari jalan mudah akan menggunakan dua kaedah tersebut dalam usaha memburu hasil laut. Terumbu karang yang mengambil masa hingga beratus tahun untuk membiak akhirnya dimusnahkan dalam sekelip mata.

Kemusnahan terumbu karang itu pula akan mengakibatkan kepupusan benih ikan, udang dan segala macam hidupan laut yang bergantung kepadanya sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Zaimie Sahibil

Zaimie tidak rela melihat segala keindahan laut dan pantai di tempat kelahirannya itu musnah begitu saja, seperti yang dialami bandar mistikal Atlantis yang dicerita oleh Plato, ahli falsafah Yunani terkenal itu.

Atlantis yang masih dipersoalkan kewujudannya itu dikatakan sebuah tamadun yang teramat maju. Mereka diangngap sebagai kaum pertama yang membina jalan berbatuan, mempunyai kepakaran artisan dan kejuteraan awam yang tinggi serta penguasa laut yang terbaik.

Pandang kecil hidupan lain

Namun kesemua itu musnah sekitar tahun 9500 hingga 9000 sebelum Masehi akibat gempa bumi dan tsunami.

Apa yang tinggal dari Atlantis hari ini hanyalah cerita-cerita mengenai kehebatannya.

Dalam ramai yang percaya akan kewujudan bandar tersebut terdapat juga mereka yang skeptikal dan beranggapan Atlantis hanyalah serpihan daripada imaginasi si Plato.

Bergerak dari kebimbangan yang sama, Zaimie cuba merekodkan alam yang ada di sekitar Kg Lagaton di utara Sabah. Setidak-tidaknya ia sebagai bukti bahawa dunia bawah air di kawasan tersebut sememang wujud dan sangat patut dipertahankan.

Zaimie membawa pengemar karya catan duduk bersama dia di atas pelantar untuk menikmati keindahan yang dia sendiri alami semasa masih kecil.

Dari atas pelantar itu juga kita yang 'di atas' akan melihat kemusnahan yang telah kita lakukan kepada laut.

Dan nun di atas sana tentu saja ada yang melihat segala jenis kezaliman yang telah dan sedang berlaku pada hidupan yang kita pandang lebih kecil daripada kita.

Laut yang memberikan hasil perutnya untuk kita nikmati itu sepatutnya lebih dihormati.

Karya-karya yang dipersembahan oleh Zaimie kelihatan sangat puitis serta langsung tidak mendatangkan kemarahan.