Skip to main
Logo Malaysiakini

Farid Kamil luah derita menanggung rindu pada anak

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bergelut dengan rasa rindu, pelakon dan pengarah Farid Kamil meluahkan perasaan itu terhadap dua cahaya matanya - Muhammad dan Aurora - melalui media sosial.

Malam tadi Farid berkongsi rakaman klip video pendek detik dia bersama isteri dan anak-anak mereka menunaikan umrah pada Feb lalu.

“Rindunya pada mereka ya Allah. Sampaikan pada mereka ya Allah kerana aku tak mampu,” tulisnya.

Pemilik nama penuh Farid Kamil Zahari itu juga memilih imej isterinya, Diana Danielle, sebagai cover untuk klip reel di Instagram.

Media melaporkan, pelakon Hingga Hujung Nyawa itu pernah mendakwa dia tidak dapat memasuki rumah yang diduduki bersama isterinya itu sejak awal bulan ini.

Peguam syarie, Akberdin Abdul Kadir, yang mewakili Diana mengesahkan perkara berkenaan namun tidak mendedahkan alasan aktres terbabit berbuat demikian.

Diana atau Diana Danielle Danny Beeson pada 10 Mac lalu memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.

Permohonan itu dibuat selepas 11 tahun pelakon Hanyut itu mendirikan rumah tangga dengan Farid.

Sementara itu, di ruang komen media sosial Farid ramai yang mendoakan pasangan terbabit agar dapat menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka dengan baik.

Mereka juga meminta Farid dan Diana, 31, tidak cepat berputus asa dalam cuba mengekalkan keharmonian berumah tangga.

Ada juga seorang pengikut menitipkan pesanan agar jangan mengheret anak-anak dalam konflik tersebut.

“Kenapa Diana menafikan hak Farid untuk berjumpa anak-anaknya? Apa saja yang berlaku antara ibu bapa, tolong jangan babitkan anak-anak.

“Letakkan ego ke tepi demi kebaikan anak-anak. Tanpa kedua ibu-bapa, anak-anak tak akan wujud dalam dunia ini.

“Kerosakan dan kesakitan sudah berlaku, tapi jangan lepaskan pada anak-anak,” katanya.

Pada hantaran berbeza hari ini, Farid, 41, berkongsi keadaannya terkini.

“Alhamdulillah, semuanya akan baik-baik saja. Insya-Allah. Ingatlah sesungguhnya kepunyaan Allah apa yang ada di langit dan bumi.

“Sesungguhnya janji Allah itu pasti tapi kebanyakan manusia tak mengetahuinya,” katanya.