Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengalaman buat Ras Adiba mahu majikan terbuka pada OKU

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penerima Anugerah Wanita Berani Antarabangsa (IWOC) 2023 Ras Adiba Radzi menggesa pihak majikan yang cenderung mendiskriminasi orang kurang upaya (OKU) untuk bersikap “terbuka.”

Presiden Persatuan OKU Sentral itu berkata, golongan terbabit harus diberi peluang untuk bersama-sama menikmati peluang pekerjaan lebih meluas malah mendapat bayaran yang setara.

“OKU perlu diberi hak saksama seperti golongan bukan OKU. Majikan harus bersikap terbuka dengan OKU, pandang dan lihat kami seperti bukan OKU.

“Jangan ada OKU yang memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) tapi diberi kerja remeh-temeh sedangkan mereka sudah belajar tinggi-tinggi.

“Jika orang bukan OKU menerima gaji RM10,000, kami juga perlu diberi bayaran sama. Apa masalahnya? Adakah kerana kami menggunakan kerusi roda?” katanya ketika ditemui di lobi bangunan Parlimen, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berkongsi pengalamannya sewaktu di peringkat awal menjadi OKU, anggota Dewan Negara itu berkata memang dia berdepan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan.

Hal itu kerana, kata bekas penyampai berita TV tersebut, tidak semua majikan bersikap terbuka dengan golongan OKU.

Tak boleh macam dulu

Justeru, menurut Ras Adiba, 54, penting untuk semua pihak membantu golongan terbabit mencapai tahap lebih tinggi dalam meningkatkan kualiti hidup mereka.

“Pernah enam tahun saya tak bekerja, hanya makan nasi dengan garam dan minum air paip. Waktu itu, banyak tawaran diberi tiba-tiba ditarik balik kerana saya OKU.

“Bahkan ada majikan beranggapan saya pembawa malang kerana OKU. Justeru saya tak mahu perkara itu berlaku kepada OKU lain kerana saya memahami, betapa sukar sewaktu tak mempunyai pekerjaan.

“Saya pula enggan minta bantuan ketika itu sebab berharap boleh berjalan semula satu hari nanti dan ingin berusaha sendiri,” katanya.

Untuk rekod, Ras Adiba, diumumkan sebagai antara penerima IWOC bagi 2023 di Rumah Putih pada 8 Mac lalu.

Jabatan Negara Amerika Syarikat dalam kenyataan sebelum itu berkata, Ras Adiba menghabiskan kebanyakan masa profesionalnya untuk memajukan serta mempromosi hak asasi manusia tanpa mementingkan diri sendiri dengan membantu populasi rentan dan menggunakan pelbagai platform untuk mengetengahkan ketidakadilan dalam masyarakat di Malaysia.

Kata Ras Adiba, anugerah berkenaan menyuntik semangatnya untuk terus memperjuangkan nasib OKU dan pada masa sama memberi inspirasi kepada golongan terbabit.

“Saya selalu katakan pada mereka, perkataan mustahil itu tak wujud. Tapi kita yang adakan kerana tak mahu mencuba,” katanya.

Pada masa sama, Ras Adiba - yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) itu - berazam untuk menjadikan Malaysia sebuah negara mesra OKU.

Katanya, berbaki beberapa tahun saja lagi sebelum negara dijangka mencapai status ‘negara tua’ pada 2030, namun kemudahan untuk warga emas masih tidak mencukupi.

“Kita tidak lagi boleh seperti dulu, banyak perkara perlu diketengahkan untuk komuniti OKU dan warga emas. Antaranya, pastikan ada perumahan khas, buka pusat intervensi awal dan juga pusat autisme.

“Saya berharap semua pihak dapat bekerjasama untuk menjadikan Malaysia sebuah negara mesra OKU yang mempunyai bangunan mengikut spesifikasi universal.

“Dengan itu, saya harap, suatu hari nanti, kita dapat membawa masuk ramai pelancong OKU dari luar negara,” katanya.