Skip to main
Logo Malaysiakini

'Itu semua fitnah' - Diana Danielle nafi curang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pelakon Diana Danielle menafikan dakwaan suaminya, Farid Kamil yang menyatakan punca dia nekad memfailkan perceraian disebabkan dirinya mempunyai orang ketiga.

Diana, 31, sebaliknya berkata, alasannya nekad untuk memfailkan permohonan cerai itu adalah berpunca daripada kesalahan Farid.

“Tanggungjawab (alasan failkan cerai).

“Itu semua fitnah. Masalah timbul adalah kesalahan dia 100 peratus. Kalau betullah saya ada orang ketiga, kenapa dia nak beri cincin kahwin dan bawa bunga?

“Baru hari ini dia nak beri semula cincin perkahwinan yang dia hilangkan selepas lapan tahun,” katanya yang ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam hari ini.

Terdahulu, Farid, 41, tiba di mahkamah membawa sebentuk cincin dan sejambak bunga mawar untuk memenangi semula hati isterinya itu.

Namun, Diana, 31, menolak kedua-dua pemberian Farid.

Pasangan itu hadir bagi memaklumkan kepada mahkamah mengenai pelantikan wakil dalam Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi menyelesaikan konflik rumah tangga mereka, selepas Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Pada 10 Mac lalu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses JKP.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad dan Aurora.

Sementara itu, diminta mengulas kenyataan Farid yang sudah 23 hari tidak bertemu anak mereka, Diana memberitahu, anak keduanya, Aurora kini berada dalam keadaan “trauma.”

“Aurora trauma,” katanya sebelum menaiki kenderaan untuk beredar.