Skip to main
Logo Malaysiakini

Cat Stevens pernah dituduh pengkhianat

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tidak mudah untuk seorang Yusuf/Cat Stevens meneruskan kehidupan dan karier muziknya selepas memeluk Islam pada 1977.

Ia diwarnai dengan pelbagai suka dan duka, termasuk penolakan daripada kalangan peminat khususnya di Barat.

“Mereka melabel saya sebagai orang jahat dan pengkhianat,” katanya dipetik media tempatan.

Penyanyi Wild World itu pernah diharamkan memasuki AS apabila namanya dicop negara Uncle Sam berkenaan sebagai penyokong pengganas pada 2014.

Kaawalan lebih ketat dilakukan susulan serangan 11 September pada 2001.

Selain itu, anggota parlimen Australia, Peter Kavanagh, menggesa konsert Cat Stevens di Australia diharamkan atas alasan penyanyi kelahiran Britain itu menyokong fatwa mati ke atas pengarang Satanic Verses, Salman Rushdie, yang menghina Islam.

Bagaimanapun, Cat Stevens akhirnya memperolehi visa untuk mengadakan konsert jelajah di negara berkenaan.

Cat Stevens dikenali melalui karya- karya popularnya dalam dunia muzik pop rock hingga folk sejak kemunculan pertama pada 1967.

Matthew and Son hingga Tea for the Tillerman merupakan album popular daripada pemuzik Inggeris terbabit.

Cat Stevens, 74, mulai tertarik pada Islam selepas dia mendengar suara azan sewaktu melancong ke Marrakesh, Maghribi. Ia dijelaskan kepadanya seperti muzik Tuhan.

Konsep itu menjentik dunia Cat Stevens yang sebelum ini hanya mengenali muzik untuk wang, populariti dan kekuatan peribadi seseorang.

Nyaris lemas dibawa ombak

Namun hal itu tidak serta-merta membuatnya untuk terus melafazkan dua kalimah syahadah sehinggalah dia berdepan dengan detik cemas di Malibu, California pada 1976.

Ketika dia dibawa arus laut, Cat Stevens - atau nama asalnya Steven Demetre Georgiou - berdoa sekiranya diselamatkan, dia akan mengabdikan diri kepada Tuhan.

“Saya memohon pertolongan daripada Tuhan dan Dia menyelamatkan saya. Ombak kecil yang datang menolak saya dari belakang. Dan saya berjaya naik ke darat,” katanya.

Susulan insiden itu, abang Cat Stevens menghadiahkan senaskhah al-Quran dan sejak itu dia mula mendalami Islam.

Namun, Cat Stevens mengakui dia tidak terus tertarik dengan al-Quran tersebut kerana dibesarkan dengan kepercayaan kuno yang dianuti bapanya.

Selepas 10 tahun sejak detik terawal muncul sebagai penyanyi, dia kemudian mengubah namanya menjadi Yusuf Islam selaras dengan pertukaran agamanya, sebelum sekali lagi bertukar kepada Yusuf Cat Stevens.

Nama itu dipilih kerana Cat Stevens amat menyukai kisah Nabi Yusuf.

Pun begitu, disebabkan populariti dikecapi pada awal karier dan muzik dihasilkannya, Yusuf Cat Stevens tetap menjadi ‘wajah’ buat Islam dalam dunia muzik di Barat hingga dia memutuskan untuk bersara dalam tempoh yang agak lama.

Selepas menyepi selama dua dekad, Cat Stevens kembali beraksi di pentas namun persembahannya jelas berbeza. Kegemilangan yang dipamerkan beberapa puluh tahun lalu menjadi kenangan.

Dia muncul dengan sangat sederhana di atas pentas, malah lagu-lagu yang didendangkannya dipilih dengan teliti dan didendangkan secara terkawal.

Malah ada antara lirik yang dianggap tidak sesuai diubah.

“Awalnya saya sangka orang akan faham kenapa saya berhenti menyanyi, tapi ternyata saya silap.

“Mereka masih mahu saya berkarya,” kata penyanyi yang turut terkenal melalui lagu Father n Son itu.

Kini, melalui sumber pendapatan diperolehi daripada royaltinya, Yusuf Cat Stevens banyak membabitkan diri dengan aktiviti amal untuk komuniti Muslim sama ada di London atau seluruh dunia.