Skip to main
Logo Malaysiakini

Cara Neelofa bahagia berumah tangga dalam Islam

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Setiap pasangan harus belajar cara untuk memelihara keharmonian dan hidup berumah tangga dalam bahagia, kata selebriti dan usahawan Neelofa.

Walaupun usia perkahwinannya baru menginjak dua tahun, kata Neelofa, banyak perkara yang baru dipelajarinya sejak mendirikan rumah tangga.

“Apabila hidup berpasangan kita berkongsi bahagia, tambahan apabila ada anak, ada orang kita nak berkongsi masalah, itu manisnya sebuah perkahwinan.

“Justeru, perlu ada usaha untuk sentiasa perbaiki diri serta belajar hidup bertoleransi, kedua-dua ini bagi saya adalah perkara common (lumrah),” katanya.

Ujar Neelofa, sama seperti orang lain, perkahwinannya bersama pendakwah bebas Muhammad Haris Mohd Ismail juga menempuh pelbagai cabaran.

Kata Neelofa, 34, doa orang ramai yang mengiringi mereka menempuh perjalanan itu adalah sesuatu paling berharga buat mereka suami isteri.

“Rumah tangga mana yang tak menempuhi cabaran. Memang mencabar tapi apabila ada doa daripada orang tak mengenali itulah yang membantu menguatkan.

“Bagi saya, doa paling berharga daripada orang ramai adalah perkahwinan itu sentiasa diberkati dan penuh kebahagiaan,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama peminat di sebuah hotel di Putrajaya kelmarin.

Dia mendirikan rumah tangga dengan Haris pada 27 Mac 2021.

Pada majlis itu, pasangan berkenaan turut meraikan hari ulang tahun perkahwinan mereka yang kedua.

Hasil perkongsian hidup Neelofa dan Haris mereka dikurniakan cahaya mata lelaki bernama Muhammad Bilal Muhammad Haris yang kini berusia 15 bulan.

Diminta berkongsi tip untuk mereka yang masih belum mendirikan rumah tangga, Neelofa berkata penting sebelum seseorang wanita mencari ilmu perkahwinan.

Katanya, dalam melangkah ke alam perkahwinan, wanita harus belajar hak seorang isteri dan tanggungjawab kepada suami.

“Nak bagi tip belum lagi, kerana perkahwinan saya pun baru setahun jagung.

“Nasihat yang saya boleh kongsi untuk orang yang tak berkahwin lagi ialah belajar apa hak seorang isteri kepada suami. Selain itu, tahu apa tanggungjawab isteri kepada suami.

"Mungkin ramai yang tak jelas mengenai itu. Sekiranya banyak benda yang digariskan dalam Islam tak dipenuhi, mungkin itu antara sebab kurangnya rasa hormat dan tanggungjawab kepada pasangan,” katanya.