Skip to main
Logo Malaysiakini

Sumpahan Jerunei buka laluan buat pelajar ketengah bakat

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Produksi filem Sumpahan Jerunei bakal mempertaruhkan hasil kreatif bakat-bakat muda melalui peraduan reka bentuk poster antaranya di American Film Festival dan Japan International Film Festival November ini.

Pengarah Eksekutif Produksi Seni 2020, Wendy Wong, berkata pertandingan itu bertujuan mengangkat bakat kreativiti golongan pelajar-pelajar dari institusi pendidikan awam dan swasta di seluruh negara ke persada antarabangsa.

“Kami akan menyertai beberapa kategori di festival filem antarabangsa, antaranya pertandingan poster.

“Jadi, sekiranya ditakdirkan menang pertandingan berkenaan, kami mahu lihat bagaimana reaksi juri dan hadirin di luar negara apabila kami memperkenalkan nama pemenang yang juga merupakan seorang mahasiswa atau pelajar sekolah.

“Ini membuka peluang nama pelajar dari Malaysia untuk dikenali dalam bidang seni sekali gus mendapat pengiktirafan antarabangsa,” katanya.

Jelas Wendy, poster akan dihakimi melalui tiga peringkat iaitu penonton, pensyarah universiti dan juri profesional.

“Fasa pertama, lima poster terbaik dari setiap universiti akan dipilih oleh orang ramai yang diundi melalui Instagram Sumpahan Jerunei.

“Peringkat seterusnya panel universiti pula akan membuat penilaian sebelum keputusan akhir akan dimuktamadkan oleh pereka poster profesional,” katanya.

Wendy ditemui pada sidang media pengumuman pertandingan poster Sumpahan Jerunei di Swinburne University of Technology di Kuching hari ini. Turut hadir rakan kongsinya, Nancy Foo.

Selain Swinburne University, empat lagi institusi pendidikan tinggi di Sarawak yang akan menyertai pertandingan poster itu adalah Cosmopoint College Kuching, Segi College, Universiti Malaysia Sarawak, dan Sekolah Seni Malaysia Sarawak.

Guna idea sendiri

Di Semenanjung Malaysia, institusi yang terbabit ialah Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur, dan Universiti Tunku Abdul Rahman. Tempoh peraduan dibuka dari 20 April hingga 20 Mei ini.

Juara yang terbahagi kepada dua pemenang (Sarawak dan Semenanjung) bakal membawa pulang telefon pintar Realme 3 Pro serta wang tunai RM1,000 manakala naib juara hingga pemenang tempat kelima akan menerima hadiah wang tunai serta cenderamata.

Pelajar yang berminat boleh melayari Instagram sumpahanjerunei atau laman web Seni 2020 untuk mengetahui lebih lanjut mengenai filem dan peraduan.

Naskhah itu bakal ditayang di seluruh pawagam tanah air pada penghujung Julai depan.

Antara pelakon yang menjayakan Sumpahan Jerunei ialah Bront Palarae, Uqasha Senrose, Daiyan Trisha, Syafie Naswip, dan Amerul Affendi.

Sementara itu Nancy pula berkata dia menggalakkan pelajar yang menyertai pertandingan itu agar menerapkan idea sendiri ke dalam rekaan poster mereka.

“Kami ingin pelajar guna idea sendiri dan bukan menciplak dari hasil kreatif orang lain kerana ini semua menjejaskan markah.

“Kami tak mahu ada tindakan undang-undang daripada pihak ketiga nanti kerana melanggar hak cipta mereka,” katanya.

Mengulas mengenai filem berkenaan, Nancy berkata, kisah fiksyen itu diinspirasi daripada sejarah warisan Jerunei atau tiang pengebumian kaum Melanau.

“Apabila ada orang berstatus besar atau bangsawan meninggal dunia, turut akan dikebumikan bersama mereka dua hamba yang setia, iaitu seorang lelaki dan perempuan yang masih perawan.

“Tiang ini berbeza mengikut status seseorang yang dikebumikan. Jika besar statusnya, maka lebih tinggi tiangnya.

“Setakat ini masih wujud enam tiang Jerunei lagi di sekitar Mukah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Pengetua Sekolah Reka Bentuk Swinburne University, Augustus Raymond Segar, berkata peraduan itu mendedahkan pelajar mengenai warisan sejarah yang tidak dikenali ramai khususnya anak-anak muda.

“Bagi saya, bagusnya filem ini kerana ia mengetengahkan Jerunei yang kebanyakan tidak diketahui anak muda Sarawak khususnya Melanau.

“Ini juga satu cara industri kreatif dan pihak institusi pendidikan boleh bekerjasama.

“Cabaran sebelum ini adalah wujud ruang untuk kedua-dua pihak ini bekerjasama dan sekarang dengan ada kolaborasi sebegini kita boleh menjajar (align) bersama,” katanya.