Skip to main
Logo Malaysiakini

Cak Kun Cak Raya 'hadiah' Aliff Syukri untuk Aidilfitri kali ini

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Usahawan kosmetik Aliff Syukri bakal melancarkan sebuah lagu raya berjudul Cak Kun Cak Raya pada 6 April ini.

Menerusi klip teaser pendek yang dimuat naiknya di media sosial itu, dapat disaksikan penampilan khas artis veteran Rosnah Mat Aris, 67, dan penari latar.

Dia yang baru menimang cahaya mata keenam itu berharap Cak Kun Cak Raya akan mendapat tempat di kalangan pendengar apatah lagi setelah enam bulan berlatih vokal sebagai persediaan.

“Semoga dengan lagu raya ini memberi sinar kebahagiaan kepada anda semua untuk menyambut hari lebaran yang bakal tiba tak lama lagi,” katanya di media sosial.

Video muzik itu sepatutnya dilancarkan pada 3 April lalu tetapi terpaksa ditangguh kerana dia ingin memberi fokus kepada isterinya yang bakal bersalin.

Seperti raya tahun lalu, klip Cak Kun Cak Raya yang menampilkan dirinya dengan sejumlah penari latar mengundang kecaman orang ramai, yang rata-ratanya berpandangan mereka berpakaian ketat dan kurang sopan.

Malah, sebuah persatuan membuat laporan polis berhubung perkara itu hari ini.

Persatuan Konsortium Industri Rakaman Malaysia (Irama) berkata ia bukan saja melanggar tatasusila masyarakat, malah menghina kemuliaan bulan Ramadan.

“Klip video berkenaan dilihat menyalahi undang-undang bukan saja pakaiannya menghina baju Melayu, malah perlakuannya sangat keterlaluan,” kata presidennya Ayob Abdul Majid seperti dipetik Utusan Malaysia.

Namun, Aliff, 36, sebelum ini berkata dia tidak melihat sebarang masalah dengan klip tersebut kerana dia tidak berbogel atau membuat aksi mencolok mata.

Senang cerita ia bergantung kepada diri kita sendiri. Kalau rasa menjolok mata, terpulang. Bagi saya, saya tak buka aurat, tak berpegangan tangan, pakai mekap, itu hanya sekadar seni," katanya seperti dipetik Harian Metro.

Untuk rekod, dia pernah dipanggil untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) atas video muzik yang dihasilkan sempena Hari Raya Aidil Fitri pada tahun lalu.