Skip to main
Logo Malaysiakini

Prosiding nusyuz Syamsul pada Puteri Sarah 8 Mei ini

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menetapkan 8 Mei ini untuk sebutan kedua prosiding tuntutan nusyuz yang difailkan pengarah Syamsul Yusof terhadap isteri pertamanya, pelakon Puteri Sarah Liyana.

Hakim Maizatul Aliza Chee Din menetapkan tarikh sebutan baru itu selepas Puteri Sarah tidak dapat hadir ke mahkamah syariah ekoran menjalankan urusan di luar negara.

Syamsul atau nama penuhnya Mohd Syamsul Mohd Yusof yang ditemui selepas prosiding itu pua berkata, dia berharap semua pihak mendoakan yang terbaik buat dirinya dan Puteri Sarah.

“Hari ini adalah sebutan nusyuz tetapi Puteri Sarah tidak dapat hadir kerana berada di luar negara.

“Hanya doakan yang baik-baik saja saya mengenai hubungan saya dengan Sarah.

“Sama ada ia berakhir dengan baik atau tidak, doakan yang terbaik.

“Kita tak tahu mungkin kita rasa apa yang terbaik untuk kita, tapi Allah Maha Mengetahui, kita hanya mampu bersangka baik,” katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah pagi ini.

Syamsul tiba kira-kira jam 9.10 pagi bersama peguam syarienya Azmi Mohd Rais.

Puteri Sarah, 37, bagaimanapun tidak hadir kerana dikatakan terikat dengan komitmen kerja di Jakarta, Indonesia dan dia hanya diwakili peguam Akberbin Mohd Kader.

Syamsul ketika memfailkan tuntutan itu pada 21 Mac lalu memberitahu antara alasan tuntutan nusyuz difailkan adalah kerana Puteri Sarah didakwanya masih berhubung dengan bekas kekasihnya yang kini berstatus suami orang.

Selain itu, Syamsul juga mendakwa Puteri Sarah meninggalkan rumah mereka sejak Okt 2020, selain enggan mematuhi notis nusyuz dan memfitnahnya memukul serta tidak memberi nafkah.

Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014.

Hasil perkahwinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

Puteri Sarah

Ditanya mengenai keputusan jawatankuasa pendamai (JKP) dalam kes cerai pasangan itu pada Isnin ini, Syamsul mengaku sudah reda walau apa saja ketentuannya.

“Insya-Allah saya cuba reda dengan apa saja, mudah-mudahan begitu juga dengan isteri saya.

“Saya pun tak mahu cakap banyak kerana bimbang akan melukakan hati Sarah lagi,” katanya.