Skip to main
Logo Malaysiakini

Konflik dengan Farid: Saman tetap saman, kata Syamsul

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengarah Syamsul Yusof berharap agar hatinya dilembutkan untuk menarik balik saman pernah dikemukakan terhadap pelakon Farid Kamil sebelum ini.

Pun begitu, Syamsul menegaskan ketika ini hatinya masih belum bersedia untuk menarik balik keputusan tersebut malah menegaskan saman itu tetap diteruskan.

“Saya berharap Allah lembutkan hati saya untuk menarik balik saman. Tapi buat masa ini saman itu masih diteruskan.

“Saya seorang yang sukakan keamanan dan tak mahu ada sebarang isu dengan rakan artis kerana kita masing-masing dalam satu bidang,” katanya.

Menurut Syamsul, 38, keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Farid dibuat bukan kerana memikirkan soal menang atau kalah sebaliknya dibuat selepas ada pihak berkata sesuatu yang buruk mengenai dia.

“Apa tindakan anda kalau ada orang ganggu dan kutuk anda di media sosial?

“Seboleh-bolehnya saya tak mahu berterusan berbalas kenyataan seperti budak-budak,” katanya ketika ditemui selepas sebutan pertama kes nusyuz di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini.

Harap doa semua

Syamsul mengambil tindakan undang-undang selepas Farid dipercayai menyindirnya dengan mendakwa dia pernah memukul seorang wanita bernama Diana.

Namun, dakwa Farid, tiada tindakan diambil hingga kini.

'Diana' yang disebut dalam Insta Story Farid itu dipercayai merujuk kepada isterinya, Diana Danielle.

Untuk rekod selain Syamsul yang sedang berhadapan konflik dengan isterinya, Puteri Sarah Liyana, secara kebetulan Farid juga mengalami masalah rumah tangga dengan isterinya.

Pada masa sama, Syamsul sempat mengulas berhubung penceraian dalam kalangan selebriti.

Katanya ia semakin menjadi trend pada masa kini namun realitinya, kehidupan tidak semudah yang disangka.

“Saya berharap semua orang doakan yang terbaik bukan saja untuk saya tapi juga rakan artis yang lain.

“Doakan kami semua, tapi saman tetap saman,” katanya.