Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Menjenguk dunia luar biasa si autistik

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN BUKU | Ketika semakin banyak pendedahan dibuat mengenai autisme, stigma dan ambiguiti mengenai kelainan semula jadi dan kekal pada seseorang terpilih itu masih merata.

Mungkin dari semasa ke semasa adalah orang yang bercakap dan kelihatan 'sedar' mengenai keunikan individu autistik. Misalnya apabila April menjelma setiap tahun kerana ia adalah bulan kesedaran autisme.

Kemudian kita pun faham bahawa 'kesedaran' itu seakan-akan dipersiapkan untuk dilupakan tidak lama kemudian.

Kerana itu Si Autistik Dari Mayapada ini dianggap relevan untuk dibaca. Ia tidak sekadar membolehkan lebih banyak maklumat mengenai gangguan perkembangan neuro sepanjang hayat seseorang diketahui.

Lebih penting - dan selalu diabaikan - ialah menyelami naluri dan perspektif si autistik.

Si Autistik Dari Mayapada bercerita secara santai mengenai seorang budak sekolah bernama Wan serta sahabatnya yang sangat memahami, Nik. Latar tempat cerita ini dikembangkan ialah di Balok, Kuantan, Pahang.

Plot novel ini adalah mudah dengan sedikit sebanyak unsur suspens dimasukkan. Ada juga sedikit kejutan di sana sini melalui plot twist yang dirancang penulis.

Pendekatan itu sudah tentu sesuai dengan sifatnya sebagai novel remaja.

Wajar ada di parlimen

Selebihnya ialah jalinan kisah fiksyen sains yang lihai memasukkan unsur-unsur kemanusiaan melalui pelbagai watak sama ada antagonis atau protagonis.

Penulis juga nampaknya membuat kajian sedikit sebanyak mengenai sistem cakerawala dan dengan sikit maklumat asas, pembaca boleh mengikuti penceritaan dalam novel ini dengan mudah.

Pada masa sama - dan ia mungkin boleh dianggap identiti Mohamad Kholid - naskhah Si Autistik Dari Mayapada disulam dengan perkataan atau istilah yang agak langka dari semasa ke semasa.

Pun begitu ia tidak terasa seperti dipaksa-paksa, mengada-ngada atau menjengkelkan. Hal itu memang agak ketara dalam setiap naskhah yang dihasilkan Mohamad Kholid.

Itu adalah antara sebab mengapa Si Autistik Dari Mayapada wajar dibaca bukan saja oleh remaja, malah orang dewasa.

Dan yang terbaik ialah menempatkan buku itu di sebanyak mungkin perpustakaan sekolah, dan para guru memainkan peranan untuk menggalakkan pelajar membaca atau mendalaminya kerana mereka itulah yang akan berdepan dengan ramai individu autistik yang perlu difahami.

Pun begitu ia tidak mencukupi di sekolah saja. Dalam keadaan serba kalut dan menyesakkan dada sekarang, elok juga Si Autistik Dari Mayapada ditempatkan dalam perpustakaan parlimen.

Walaupun tidak mungkin untuk mengharap terlalu tinggi, tetapi tidak ada salahnya untuk berdoa buku ini dibaca oleh wakil rakyat yang kadang-kadang kelihatan cerdik tapi rupa-rupanya begitu lembam memahami nasib insan lain.

Terlalu ramai yang begitu sombong tanpa mahu menyedari bahawa takdir boleh datang mengetuk pintu nasib masing-masing pada bila-bila masa saja. Ketika diri sendiri berdepan dengan anak autistik, mungkin barulah kesombongan itu akan mengendur.

TAJUK: Si Autistik Dari Mayapada
PENULIS: Mohamad Kholid Hamzah
PENERBIT: Dewan Bahasa dan Pustaka (2022)
TEBAL: 280 halaman
HARGA: RM24