Skip to main
Logo Malaysiakini

'6 isu libatkan RTM, Finas untuk tindakan Kementerian Komunikasi Digital'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) membangkitkan isu dan cadangan berkaitan industri kandungan kreatif sewaktu pertemuan bersama Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil semalam.

Presiden PTVM, Jurey Latiff Rosli berkata, pada pertemuan itu, PTVM membawa enam isu yang berkaitan terutama melibatkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Katanya, isu berkenaan dibangkitkan semula memandangkan rundingan dengan tujuh menteri sebelum ini tidak menemui jalan penyelesaian.

“Antara isu yang diperjuangkan sejak penubuhan PTVM pada tahun 2008 adalah isu Harta Intelek yang dimiliki sepenuhnya oleh stesen televisyen tempatan, Dana Kandungan Digital Televisyen, Co-Production antarabangsa, Konsortium dan perkara berkaitan perolehan rancangan swasta dan perolehan rancangan antarabangsa (syndicated) di RTM,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Jurey, Fahmi memberi jaminan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengambil tindakan lanjut susulan taklimat senario terkini industri itu.

“Selepas mendengar taklimat menteri membuat perakuan bahawa akan mengambil tindakan lanjut dengan mengadakan perbincangan dengan pihak Kementerian Komunikasi Digital dan seterusnya memberikan maklum balas secara bertulis kepada pihak PTVM,” katanya.

Menurut Jurey lagi, PTVM memberikan penekanan bahawa pentingnya untuk kerajaan membuat penstrukturan semula kandungan kreatif televisyen memandangkan banyak isu yang membelenggu industri belum dapat diselesaikan walaupun mempunyai Dasar Industri Kreatif dan Dasar Filem Negara.

“Kesungguhan kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim membantu rakyat diharap dapat mengubah landskap industri kreatif Malaysia.

“Iltizam kami ingin melihat perubahan dalam industri tidak hanya berhenti dengan pertemuan dengan Menteri Komunikasi Digital malah kami telah membuat persediaan untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dalam masa terdekat bagi membentangkan kertas kerja mewujudkan ekosistem industri kreatif kondusif di bawah Kerajaan Malaysia Madani,” katanya.