Skip to main
Logo Malaysiakini

Syamsul lafaz talak Puteri Sarah 18 April

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kemelut rumah tangga pengarah sensasi Syamsul Yusof yang berlanjutan selama tiga bulan dengan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin bakal berakhir apabila keputusan kes cerai itu akan dimuktamadkan pada 18 April ini.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas menetapkan tarikh itu selepas peguam kedua-dua pihak memaklumkan terdapat perkembangan baru dan penyelesaian antara kedua-dua pihak.

Pelakon Puteri Sarah yang ditemui selepas prosiding permohonan cerainya mengakui lega apabila konflik itu bakal dinoktahkan tidak lama lagi.

“Kami mengadakan perbincangan pada saat-saat akhir malam tadi. Akhirnya semua selesai dan dah tak perlu pening-pening lagi selepas ini.

“Ini berkat Ramadan dan solat tahajud,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini.

Menurut Puteri Sarah, 37, dia hanya inginkan ketenangan untuk meneruskan kehidupan selepas ini serta menyambut Aidilfitri dengan gembira.

Puteri Sarah bersama peguam

“Kami nak cepat selesaikan kes ini sebelum Hari Raya Aidilfitri supaya sambutan perayaan kali ini akan lebih tenang, kami tak mahu bermusuh atau berdendam,” katanya lagi.

Dalam prosiding hari ini, peguam syarie Akberdin Abdul Kader mewakili Puteri Sarah manakala peguam syarie Azmi Mohd Rais mewakili Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof.

Terdahulu, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan cerai di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Antara alasan dikemukakannya untuk bercerai ialah mereka sudah tiada persefahaman dan telah berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri menurut hukum syarak.

Syamsul, 38, bagaimanapun memaklumkan enggan menceraikan isteri pertamanya kerana yakin rumah tangga mereka boleh diselamatkan, selain masih menyimpan perasaan sayang terhadap Puteri Sarah.

Pada 24 Mac lalu, selepas proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) berlangsung di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Puteri Sarah mengatakan proses itu gagal menemui jalan penyelesaian.

Syamsul Yusof

Sebelum itu, pada 7 Mac, pasangan berkenaan diperintahkan oleh mahkamah sama supaya melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.

Hakim Syarie memerintahkan demikian selepas keengganan Syamsul untuk menceraikan isteri pertamanya itu.

Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan melalui perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.

Sementara itu, Akberdin berkata kedua-dua pihak sudah menyelesaikan masalah rumah tangga secara aman dan baik.

Menurutnya, perjanjian dan lafaz cerai akan disahkan minggu depan manakala terma penyelesaian akan dimaklumkan pada tarikh tersebut dan akan direkodkan.

“Antara terma-terma penyelesaian itu ialah hadhanah, nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian.

“Pada hari itu juga, kami akan rekod di mahkamah rendah dan tinggi kerana membabitkan anak-anak,” katanya.