Viu Malaysia beri jaminan tiada lagi naskhah seperti Mentega Terbang
Perkhidmatan penstriman Viu memberi jaminan akan mengelak tayangan filem yang menyentuh sensitiviti agama dan masyarakat susulan kontroversi yang menghimpit filem Mentega Terbang.
Pengarah Produksi (Fizikal) Viu Malaysia, Imillya Irwani Roslan berkata, meskipun kontroversi itu tidak menjejaskan jumlah langganan, pihaknya akan lebih berhati-hati dengan kandungan filem yang ditayang di platform berkenaan.
“Pihak kami bersyukur, tayangan Nenek Bongkok Tiga tidak terjejas, kadar tontonan secara keseluruhan juga tak ada bezanya, orang lagi nak tengok Viu pada masa itu.
“Namun selepas isu tercetus, kami mengambil sikap untuk lebih menjaga sensitiviti terutama bagi kandungan original yang dihasilkan bagi mengelak perkara tak sewajarnya daripada berulang. Untuk kandungan original, kami kawal dari awal hingga akhir projek.
“Justeru, kami akan lakukan saringan untuk setiap cerita dan sinopsis, sekiranya terdapat perkara yang tak pasti, kandungan tersebut akan dirujuk kepada yang lebih pakar,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Viu Malaysia, kelmarin.
Kata Imillya, pihaknya sedia maklum malah bekerja rapat dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) berhubung garis panduan penggambaran sesebuah naskhah.
“Memang Viu tak terbabit dengan Lembaga Penapis Filem, tapi bekerja rapat dengan Finas.
“Justeru, apabila mengupah sesebuah syarikat produksi, kami akan pastikan mereka mengikut ketetapan garis panduan serta memiliki permit penggambaran.
“Kami menjaga baik hubungan dengan Finas yang memantau industri secara keseluruhan,” katanya.
Mentega Terbang yang ditayangkan di platform berkenaan sejak 19 Jan lalu mengundang kemarahan umat Islam ekoran beberapa adegan dipaparkan yang menyentuh sensitiviti.
Filem arahan Mohd Khairi Anwar Jailani itu disahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai bertentangan dengan akidah dan cara hidup umat Islam negara ini yang mengamalkan ajaran mazhab Syafie.
Bagaimanapun, Viu mengambil langkah menghentikan penayangan Mentega Terbang pada 27 Feb lalu.
Untuk rekod, susulan kontroversi menghimpit filem berkenaan, produksi Mentega Terbang disiasat di Bukit Aman pada 15 Mac.
Pengarah dan pelakon produksi terbabit juga menerima ancaman bunuh atas penerbitan filem berkenaan.
Ditanya sama ada pihaknya pernah menerima ancaman seperti dihadapi kru produksi Mentega Terbang, Imillya bersyukur perkara seumpama itu tidak berlaku.
“Filem itu sudah dihentikan tayangan 100 peratus.
“Setakat ini tiada yang mengugut atau ingin sabotaj. Pelanggan kami memahami, Viu tidak kena mengena dengan penghasilan filem berkenaan, cuma bertindak sebagai platform tayangan saja,” katanya.
Perbanyak kandungan original
Sementara itu, Imillya memaklumkan, Viu bakal tampil dengan lebih banyak kandungan eksklusif bersifat original untuk menyasarkan lebih ramai pelanggan.
Malah, katanya, sejak tujuh tahun ditubuhkan, Viu memiliki ramai pengikut yang terdiri daripada peminat K-drama dan pada masa sama tertarik dengan siri original.
“Kami harus mewujudkan lebih banyak kandungan lokal, supaya nampak identiti Viu Malaysia. Untuk kandungan original, kami tetap fokuskan pasaran Malaysia dulu.
“Setakat ini, Viu ditayangkan di 16 buah negara. Selepas Malaysia, penonton kedua terbesar datang dari negara Indonesia dan Singapura.
“Kebanyakan penonton Viu tertarik pada kandungan K-drama yang kami siarkan. Jadi, apabila ada naskhah adaptasi drama itu diwujudkan untuk versi Malaysia mereka tetap mengikuti malah memberi respons positif,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai