Skip to main
Logo Malaysiakini

Cece ambil upah urut wanita ringankan beban keluarga

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Demi meneruskan kelangsungan hidup dan memahami kesukaran dihadapi suaminya yang uzur, Nur Hidayah Cecilia Abdullah - atau lebih mesra disapa Cece - tabah menawarkan perkhidmatan mengurut wanita bagi meringankan beban kewangan keluarga.

Isteri pemain gitar kumpulan Spring itu berkata keadaan suaminya, Iskandar, yang menderita pelbagai penyakit kronik termasuk lumpuh, memaksa dia tidak boleh keluar bekerja seperti orang lain.

Katanya dia terikat dengan tugas menguruskan serta menjaga kebajikan suaminya yang terlantar di rumah.

“Inilah pendapatan saya sekarang (sewaktu tinggal di Negeri Sembilan) sejak suami sukar bergerak akibat strok.

"Perkhidmatan mengambil upah mengurut wanita ini saya teruskan apabila berpindah di Miri, Sarawak selagi belum dapat pekerjaan lain," katanya kepada Malaysiakini.

Selain mengelolakan keperluan rumah, Cece, 43, berkata dia juga perlu menguruskan Iskandar yang mempunyai jadual menjalani dialisis sebanyak empat kali sehari.

Keadaan itu katanya menjadikan dia sukar untuk bekerja jauh dari suaminya.

Mengenai kemahiran mengurut itu Cece berkata dia belajar melalui program anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

“Kalau kos untuk urut satu badan mengikut harga standard biasanya RM100, namun saya tidak meletakkan harga upah yang spesifik kepada pelanggan.

“Sebaliknya, saya sering berpesan, berilah upah yang seikhlas hati. Dan mungkin sebab itulah, pelanggan saya juga semakin bertambah,” katanya.

Marah kalau tak kejut sahur

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Iskandar atau nama penuhnya Tengku Radin Iskandar Tengku Musaidin terpaksa berpindah ke Miri pada 31 Mac lalu disebabkan bebanan membayar kos rumah sewaktu menyewa di Taman Rasah.

Iskandar, 54, yang juga pengasas kumpulan Spring itu diduga dengan pelbagai masalah kesihatan seperti gout, diabetes, kesukaran bertutur, lumpuh dan perlu menjalani rawatan dialisis akibat kompilasi buah pinggang dialami.

Dia memerlukan sekurang-kurang RM40,000 setahun bagi menampung kos rawatan.

Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Tengku Wok Ishaq, 25, Tengku Chik Abidin, 23, dan Tengku Ismail Petra, 18.

Mengulas perkembangan Iskandar, Cece berkata, dia sedang memohon bantuan katil daripada Baitulmal selain membawa suaminya itu ke Hospital Miri bagi rawatan fisioterapi.

“Alhamdullillh, Iskandar dah dapat temu janji untuk rawatan fisioterapi pada 20 April ini. Sekarang kami sedang menunggu kelulusan permohonan katil daripada Baitulmal,” katanya.

Mengulas lanjut, Cece berkata, walaupun berdepan pelbagai penyakit, Iskandar tetap cuba melaksanakan ibadah berpuasa sepanjang Ramadan ini.

Bahkan katanya Iskandar akan ‘memarahinya’ jika dia tidak dikejutkan untuk bangun bersahur.

“Kalau saya tak kejutkan dia untuk bangun untuk bersahur jam 5 pagi, dia akan marah saya. Setakat ini, alhamdulillah, puasa tak menjejaskan kesihatan dia,” katanya.

Iskandar pula berkata, sebagai umat Islam, dia enggan melepaskan peluang untuk mendapatkan sebanyak mungkin pahala meskipun tidak boleh aktif bergerak.

“Kita orang Islam kan, jadi berpuasalah. Doktor juga galakkan saya berpuasa. Kalau tak sihat, saya akan berbuka, tapi biasanya saya berpuasa penuh,” katanya.