Skip to main
Logo Malaysiakini

Farid tarik balik dakwaan ada orang ketiga dalam krisis rumah tangga

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Farid Kamil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada isteri, Diana Danielle, dan ibu mentuanya berhubung kenyataan dibuat mengenai ada pihak ketiga dalam kemelut rumah tangga mereka.

Farid atau nama penuhnya Farid Kamil Azhari pada masa sama menarik balik kenyataan yang dibuat kepada wartawan pada 28 Mac lalu.

Pelakon dan pengarah itu berkata demikian melalui kenyataan dimuat naik melalui Insta Story malam tadi.

“Saya menarik balik kenyataan saya mengenai soalan daripada wartawan berkaitan pihak ketiga.

“Saya dengan rendah diri memohon maaf secara terbuka kepada ibu mertua saya, Norsiah Ramli, serta isteri, Diana Danielle di atas kenyataan saya pagi tadi (semalam).

“Sekali lagi di bulan Ramadan yang mulia ini saya mohon dimaafkan atas kekhilafan yang terjadi,” katanya.

Semalam Farid, 41, hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi menjalani proses sulh bagi merungkai kemelut yang melanda rumah tangganya.

Bagaimanapun Diana tidak hadir ke prosiding berkenaan.

Pelakon Legenda Budak Setan itu antaranya mendedahkan hubungan dia dengan Norsiah sudah lama terputus selepas mendakwa Diana menghalau ibunya keluar dari rumah pada 2019.

Ketika ditemui media di pekarangan mahkamah itu, Farid yang juga pelakon Anwar: The Untold Story itu meluahkan kehairanan apabila melihat ibu mentuanya hadir bersama Diana minggu lalu.

Pada 10 Mac lalu, Diana, memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di Subang Bestari atas alasan sudah tiada persefahaman, berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Farid bagaimanapun enggan melafazkan cerai ke atas Diana.

Di hadapan petugas media semalam, Farid mengemukakan tawaran perdamaian kepada Diana antaranya membabitkan kenderaan Vellfire, barang kemas dan bayaran pendahuluan nafkah yang kesemuanya bernilai RM319,700.

Bagaimanapun, peguam Diana, Akberdin Abdul Kadir memaklumkan, anak guamnya itu menolak tawaran berkenaan.

Katanya, Diana tidak mahu membuat sebarang tuntutan kecuali hak penjagaan anak dan dilepaskan cara baik.