Skip to main
Logo Malaysiakini

Faizal Hussein: Kita kena ajar mereka macam itu

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pelakon popular, Faizal Hussein, mengakui dia seorang yang bertegas dalam soal bayaran terutama kepada jenama bertaraf antarabangsa yang berminat untuk menggunakan khidmatnya.

Kata pelakon senior itu, dengan berbuat demikian ia sekali gus dapat mengelak pelakon lain daripada berdepan nasib tidak dihargai apabila diberikan bayaran yang tidak berbaloi.

“Saya terpaksa tolak tawaran berlakon dalam klip video yang berkonsepkan iklan raya untuk sebuah jenama antarabangsa itu kerana bayarannya amat rendah.

“Sekiranya ada jenama tempatan boleh tawarkan saya bayaran harian RM10,000, jadi jenama antarabangsa itu tak bolehlah nak bayar saya dengan bayaran lebih rendah sebab ia sebuah syarikat berjenama antarabangsa.

"Kita kena ajar mereka macam itu,” katanya ketika ditemui pada majlis Viu Together Gather yang berlangsung di sebuah hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Faizal, 55, berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung aktiviti berkaitan iklan raya yang diterimanya.

Menurut pelakon Bunohan itu, dia banyak memenuhi tawaran untuk berlakon iklan raya menggunakan media sosial sebelum Ramadan lagi.

Malah katanya dia juga sudah kurang membintangi drama bersiri kerana pendapatan diperolehi melalui iklan lebih memberangsangkan.

“Fasal iklan ini, sukar nak tolak kerana bayaran yang diterima lebih hebat daripada bayaran berlakon telefilem.

“Walaupun bekerja hanya untuk dua hari, pendapatan daripada kerja iklan lebih daripada bayaran diterima untuk berlakon dalam satu telefilem yang memerlukan hari bekerja selama lapan hari.

“Jadi, siapa yang tak nak buat?” katanya.