Skip to main
Logo Malaysiakini

Uqasha anggap insiden Kamal diserang ada hikmah, kifarah

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Sama ada insiden yang terselit hikmah, atau menjadi kifarah - itu cara Uqasha Senrose melihat insiden suaminya, Kamal Adli, diserang individu tidak dikenali semasa berada di Singapura pada 12 Mac lalu.

Aktres itu mengulas demikian ketika ditanya adakah insiden itu dianggap satu ujian berat buat mereka suami isteri.

“Orang kata, kalau berdepan sesuatu ujian berat mungkin ada hikmah di sebaliknya atau mungkin juga kifarah disebabkan apa yang kami pernah buat sebelum ini,” ujarnya.

Pemilik nama penuh Nik Zaris Uqasha Nik Sen itu juga berkata, insiden menimpa Kamal, 36, menyebabkan dia trauma untuk berada di kawasan ramai orang apatah lagi untuk ke luar negara ketika ini.

Bukan setakat itu, Uqasha, 30, juga mendedahkan mereka sudah mengupah pengawal peribadi demi keselamatan.

“Saya sebenarnya takut untuk keluar rumah. Orang duduk sebelah pun saya jadi takut," katanya.

Mungkin alami stres

Malah dakwa Uqasha dia muncul di sebuah hotel di ibu kota semalam adalah hanya untuk memenuhi sidang media yang diatur.

Dia juga memberitahu akan meninggalkan rumah untuk urusan menjalani penggambaran saja buat masa ini.

“Kami memang mengupah pengawal peribadi sekarang, selain rumah kami dikawal peronda polis selepas ada laporan yang dibuat,” katanya yang ditemui pada sidang media dan majlis berbuka puasa bersama produksi filem terbaru lakonannya, Sumpahan Jerunei, semalam.

Selain Uqasha, Sumpahan Jerunei turut dijayakan Bront Palarae, Syafie Naswip, Tony Eusoff, Daiyan Trisha, Ruminah Sidek, Amerul Affendi dan Yuyun Hikmah.

Filem arahan Jason Chong itu bakal menemui penonton di layar perak pada 27 Julai ini dan dihasilkan berdasarkan kisah benar yang memaparkan sejarah kaum Melanau di Sarawak.

Kamal mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka, bawah mata dan badan selepas diserang seorang lelaki berusia 34 tahun menggunakan cota besi kira-kira sebulan lalu.

Pelakon terbabit terpaksa dibawa ke hospital untuk menerima rawatan dan menjalani pembedahan.

Kamal dan Uqasha berada di Singapura untuk acara Jualan Mega Hari Raya 2023 di Dewan 5A Ekspo Singapura selama tiga hari bermula 10 Mac lalu.

Media Singapura melaporkan, lelaki terbabit ditangkap polis selepas beberapa pengunjung dan pengendali gerai menahannya ketika cuba melarikan diri.

Suspek kemudian direman selama tiga minggu di Institut Kesihatan Mental untuk pemerhatian psikiatri, namun mahkamah di republik itu mengarahkan dia ditahan serta tidak dibenarkan diikat jamin.

Mengulas keadaan terkini Kamal, Uqasha berkata, kesihatan suaminya dalam keadaan baik cuma buat masa ini dilihat seperti sedikit tertekan.

Ujar pelakon Isteri Halal itu lagi, ia mungkin disebabkan Kamal sering terperap di rumah ekoran keadaannya yang baru keluar hospital serta pekerjaanya yang banyak tertangguh.

“Alhamdulillah Kamal OK saja, cuma masih belum boleh bekerja sebab ada bahagian tubuhnya yang berjahit. Jadi apabila duduk di rumah saja mungkin dia jadi stres.

“Kamal pula orang yang takut dengan jarum, jadi beberapa prosedur rawatan atau pemeriksaan kesihatan susulan tidak dapat dilakukan ekoran dia takut ke hospital,” katanya.