Skip to main
Logo Malaysiakini

'RTM tak gam mana-mana penyanyi, industri rugi gam-mengegam ni'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menafikan dakwaan bahawa Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menerima arahan untuk menyekat persembahan artis yang mempunyai latar belakang tidak menyokong PH-BN.

"Tidak digam. Tiada arahan sedemikian," ciap Ahli Parlimen Lembah Pantai itu di Twitter hari ini.

Terdahulu, dia membalas ciapan penyanyi yang cukup popular pada era 80an Dayangku Intan yang mendakwa bahawa persembahannya telah 'gam' oleh RTM.

Dayang atau nama sebenarnya Tengku Intan Tengku Abdul Hamid sebelum ini menciap "siapa lah saya ni… itu pun mereka koyak."

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan (gambar, atas) meminta Fahmi untuk menjelaskan dakwaan bahawa pegawai RTM diarah menyekat persembahan artis tertentu daripada siaran televisyen atau radio RTM.

Dalam tulisan di Facebook, Wan Saiful mendakwa dia menerima maklumat bahawa RTM diarah memeriksa "latar belakang" seseorang artis sebelum dijemput membuat persembahan.

"Berdasarkan maklumat yang diberi kepada saya, rakaman untuk program khas hari raya itu telah pun siap. Poster iklan juga telah disebarkan. Saya dimaklumkan arahan tersebut menyebabkan ada artis yang akan dipotong keluar daripada siaran pada hari raya pertama walaupun telah dirakam.

"Jika benar ada unsur kepartian sempit dalam perkara ini, maka ia adalah langkah mundur dan zalim. Golongan artis tidak wajar dinilai dengan lensa kepartian.

"Saya minta YB Fahmi Fadzil selaku Menteri Komunikasi dan Digital segera memberi penjelasan, atau, lebih baik jika terus membetulkan keadaan dengan membenarkan rakaman artis tersebut disiarkan," dakwanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Suhaimi Sulaiman (gambar, bawah) turut menyangkal dakwaan tersebut.

"Kita kat RTM tak gam mana-mana penyanyi pun. Industri akan rugi kalau kita gam-mengegam ni.

"Yang elok kita semua cakap elok-elok dan tok sah gaduh-gaduh.

"Sempena Aidilfitri kita bermaaf-maafan ler ya," ciapnya di Twitter.