Skip to main
Logo Malaysiakini

Michelle Yeoh jumpa Anwar, imbas kembali suka duka perjalanan kerjaya

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pelakon Michelle Yeoh yang pulang ke Malaysia, setelah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Akademi bulan lalu, mengunjungi pejabat Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini.

Berkongsi tentang kunjungan itu di Facebook, Anwar berkata Yeoh antara lain menghimbau kisah suka duka perjalanan hidupnya dalam dunia hiburan sehingga sampai ke tahap hari ini.

"Dia turut menitip pesan bahawa kejayaan gemilang anugerah Oscar itu cukup bermakna bagi dirinya, keluarga dan juga rakyat Malaysia seluruhnya.

"Pencapaiannya itu berjaya mengangkat nama negara di persada antarabangsa.

"Saya ucap maju jaya dan terus beroleh kejayaan," kata Anwar.

Anwar turut memuat naik sedutan pertemuan itu di Facebook story, di mana mereka dilihat berbual berkenaan trofi Oscar yang turut dibawa Yeoh ke pejabatnya.

Pada Mac lalu, anak kelahiran Ipoh berusia 60 tahun itu mencatat sejarah apabila menjadi pelakon Asia pertama yang merangkul Anugerah Akademi atau Oscar untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik, menerusi wataknya sebagai Evelyn Wang dalam filem Everything Everywhere All at Once.

Menerusi watak itu, dia juga menang beberapa lagi anugerah lain seperti Anugerah Golden Globe ke-80 dan Anugerah Screen Actors Guild (SAG).

Dalam sidang media di Kuala Lumpur semalam, dia menyuarakan harapan kejayaannya itu dapat membantu dalam menyokong bakat tempatan.

"Saya tahu ada pembikin filem yang hebat dari bahagian dunia kita ini dan kita hanya perlu, pertama sekali, kita perlu mencipta peluang untuk mereka. Kita perlu mencipta platform yang akan mempamerkan bakat mereka," dia dipetik berkata.