Skip to main
Logo Malaysiakini

Bahagiakan ibu bapa dengan pulang beraya - Rossa

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penyanyi tersohor Indonesia, Rossa, menitipkan pesan kepada sesiapa yang masih mempunyai ibu bapa untuk merebut peluang berbakti kepada mereka sempena Aidilfitri ini.

Menyedari kehidupan amat singkat, Rossa berkata, dia juga sentiasa mencari ruang dan peluang agar dapat terus membahagiakan orang tuanya dengan pulang meraikan perayaan itu bersama mereka di kampung.

“Saya seorang yang jarang pulang ke kampung kerana kekangan jadual pekerjaan, tapi akan pastikan tak bekerja pada hari raya pertama supaya dapat sambut Aidilfitri bersama orang tua.

“Saya mahu luangkan lebih banyak masa bersama orang tua kerana mereka semakin berusia, sebab itu saya sentiasa cuba menghargai setiap saat untuk memberi kasih sayang kepada mereka.

“Mungkin inilah harus kita buat sebagai anak kerana masa yang berlalu tak akan dapat diulang kembali, yang pasti, jangan sampai menyesal nanti kerana kurang memberi perhatian kepada orang tua kita,” katanya.

Penyanyi Atas Nama Cinta itu berkata, ketika pandemik Covid-19, dia belajar untuk menghargai banyak perkara dalam kehidupan.

“Sebab itulah kita perlu selalu bertanya khabar walaupun memadai melalui panggilan telefon.

“Pandemik bukan membuatkan kita semakin menjauh, tapi semakin dekat dengan orang-orang yang kita kasihi,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbarunya, Khanti, di ibu kota baru-baru ini.

Khanti adalah lagu runut bunyi untuk program bersiri Viu Indonesia, Bidadari Bermata Bening.

Melalui runut bunyi Khanti, Rossa atau nama penuhnya Sri Rossa Roslaina Handiyani kembali menjalin kolaborasi bersama penyanyi dan komposer Melly Goeslaw serta Andi Rianto.

Mengulas perihal kehidupannya pula, Rossa, 44, berkata sejak 15 tahun lalu dia tidak pernah lelah bekerja agar demi kelangsungan hidup malah mengakui bahawa duit sangat penting dalam kehidupan.

“Kalau nak kata duit berikan kebahagian, ia sudah tentu. Wang sangat penting untuk kita teruskan hidup, mahu beli makanan enak juga tentu perlukan wang.

“Beri kebahagiaan kepada orang tua dengan belikan mereka pakaian baru dan ingin pulang ke kampung juga perlukan wang,” katanya.

Bagaimanapun, Rossa berkata, wang bukanlah segala-galanya untuk dirinya.

“Cuma duit adalah sebab kita bekerja keras untuk mencapai sesuatu yang diinginkan,” katanya.