Skip to main
Logo Malaysiakini

Saya antara jutaan peminat Mael XPDC - Fahmi

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pemergian penyanyi kumpulan XPDC Syed Ismail Syed Ibrahim, atau Mael, yang meninggal dunia malam tadi turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Fahmi mengakui dia antara jutaan peminat kepada legenda rock itu.

“Innalillah. Menerima khabar duka. Penyanyi kumpulan XPDC, Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael meninggal dunia sebentar tadi.

“Saya antara jutaan peminat beliau dan orang sekeliling saya tahu ‘Semangat yang Hilang’ merupakan lagu kegemaran saya.

"Semoga Allah tempatkan arwah dalam kalangan orang yang beriman,” katanya pada satu kenyataan.

Malam tadi, perkhabaran sedih itu dikongsikan oleh pengurus kumpulan XPDC, Yazid menerusi Facebook.

"Innalillahwainnailahirrajiun. Al-Fatihah penyanyi XPDC Syed Ismail Syed Ibrahim (Mael) menghembuskan nafas terakhir di Hospital Muar jam 9 malam ini," tulisnya.

Sementara itu, salah seorang anggota kumpulan itu Zua dipetik Harian Metro berkata dia belum mendapat maklumat lanjut berhubung punca kematian allahyarham.

Katanya lagi, Mael kebelakangan ini mengalami masalah semput yang agak kuat.